DUNIA > BERITA

Teks Ucapan PM Anwar Di Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab Dan Islam

12/11/2024 12:00 AM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Berikut teks ucapan penuh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi hari ini.

 

Duli Yang Maha Mulia Putera Mohammed bin Salman Al-Saud,

Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi,

Raja-Raja, Tuan-Tuan Yang Terutama sekalian,

Assalamua’laikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Semoga sentiasa dirahmati Allah SWT.

Pertamanya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud kerana telah sudi menjemput saya ke Sidang Kemuncak ini.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Duli Yang Teramat Mulia Putera Mohammed bin Salman Al-Saud dan Kerajaan Arab Saudi kerana mengadakan mesyuarat penting ini pada hari ini.

Saya bersetuju dengan banyak perkara yang telah dikemukakan termasuk cadangan serta syor daripada rakan-rakan pimpinan negara. Pandangan mereka ternyata mencerminkan suara umat Islam yang bersatu padu, yang terhasil daripada lonjakan keyakinan, kebersamaan dan suara rakyat. Kita harus mengakui bahawa keadaan yang dihadapi dunia Islam dan ummah pada saat ini adalah yang paling sukar dan mencabar. Namun, sememangnya amat dipuji bahawa terdapat usaha gigih yang telah dilakukan secara berterusan, termasuk sidang kemuncak seperti ini, untuk mencari jalan dan cara untuk menamatkan keganasan, kemusnahan dan kesengsaraan yang dihadapkan kepada warga Palestin.

 

Israel tidak tergolong dalam negara yang bertamadun, dan kebiadabannya menuntut tindakan dan prinsip tegas untuk melindungi bukan sahaja Timur Tengah, tetapi seluruh tatanan global.

Lima puluh tahun lepas, dunia dikejutkan dengan kekejaman di Afrika Selatan sehingga Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil langkah yang tidak pernah dilakukan sebelum ini yakni menafikan Kerajaan Afrika Selatan pada waktu itu untuk menerima tempat dalam Perhimpunan Agung.

Israel, bagaimanapun, telah melampaui batas, melampaui akal, melampaui kemanusiaan dan secara terang-terangan melakukan genosid terhadap rakyat Palestin. Pembantaian ini menyebabkan kita tiada pilihan selain menuntut tindakan pantas dan berkesan masyarakat antarabangsa termasuk sekatan, penggantungan dan juga pengusiran.

 

Dalam kempen yang tidak berkesudahan, Israel kini telah menyerang nadi utama bagi kelangsungan hidup Palestin dengan menyasarkan Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA). Dengan menyekat UNRWA daripada beroperasi, Israel menyebabkan pemberhentian bantuan kemanusiaan dari dunia, sekali gus memutuskan sumber keperluan asas untuk kelangsungan hidup di Gaza.

Kita mesti menghentikan pembunuhan yang berterusan ini dan segera mengambil langkah untuk menyediakan perlindungan yang lebih berkesan pada UNRWA. Sementalahan, kita harus menyediakan perlindungan yang lebih baik kepada pasukan pengaman PBB di Lubnan yang terdiri daripada hampir 50 negara, termasuk Malaysia, yang telah diserang dan diancam oleh pasukan tentera Israel.

Masyarakat antarabangsa perlu bertindak dengan pantas dan tegas. Sebagai langkah segera, kita perlu mendesak, seperti yang dilakukan Malaysia di Perhimpunan Agung PBB pada September, untuk segera mengenakan sekatan penghantaran senjata kepada Israel.

 

Bagaimanapun, keseriusan serangan Israel terhadap prinsip asas kemanusiaan terhadap undang-undang antarabangsa memerlukan pertimbangan bagi tindakan balas yang lebih tegas. Bukan sahaja demi rakyat Palestin, tetapi juga demi kemanusiaan sejagat. Kita mesti menghukum dan mencegah pelanggaran undang-undang serta norma antarabangsa yang dilakukan berulang kali oleh Israel. Oleh itu, kita perlu membina konsensus untuk menggantung, atau bahkan menyingkirkan, Israel daripada PBB.

Rentetan kekejaman ini telah pun merebak ke Lubnan, Yaman, Syria, Iraq, dan Iran. Jika dunia berpaling pada saat ini, keganasan ini tidak akan kekal terhad. Malah ia pasti akan menyemarak dan mengancam rantau ini termasuk ke seluruh dunia.

Tentunya, aspek paling penting dalam keprihatinan kita adalah kepada mangsa yang terkorban. Justeru, adalah sangat penting untuk menggandakan usaha membantu membangunkan semula Gaza daripada kehancuran. Yang amat penting ialah melaksanakan rencana ini tanpa sebarang kelewatan. 

Kita mesti melakar sempadan yang jelas, bukan sahaja sebagai umat Islam tetapi juga sebagai sesama insan, bersatu serta berpegang kepada kebenaran untuk dunia yang lebih aman dan lebih baik bagi anak-anak kita serta generasi yang akan datang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan