DUNIA > BERITA

Lawatan PM Kukuhkan Kedudukan, Cermin Komitmen Diplomatik Malaysia - Penganalisis Politik

16/11/2024 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan kerja ke beberapa negara termasuk ke Amerika Latin sepanjang bulan ini dilihat mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia di mata dunia, khususnya menjelang kepengerusian ASEAN tahun depan. 

Kepimpinan mengagumkan tokoh politik tanah air itu dalam arena diplomatik antarabangsa mencerminkan komitmen untuk meningkatkan martabat Malaysia di pentas global selain menonjolkan ketegasan beliau dalam isu kemanusiaan khususnya Palestin. 

Sejak memegang jawatan itu pada 24 Nov 2022, pendekatan proaktif Perdana Menteri berusia 77 tahun itu terhadap isu global dan hal ehwal serantau menerima banyak pujian dari pelbagai pihak, termasuk lantang menyuarakan isu genosid rakyat Palestin di pelbagai platform antarabangsa. 

Penganalisis politik Prof Madya Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpandangan lawatan Anwar ke beberapa negara bulan ini sejak 9 Nov lepas iaitu Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil dilihat mampu merapatkan hubungan diplomatik, meningkatkan kerjasama sedia ada dalam pelbagai bidang dan menaikkan prestij negara di mata dunia.  

"Di Mesir, banyak kerjasama dalam bidang pengajian tinggi khususnya dengan Universiti Al-Azhar yang dapat diperkukuh lagi. Di Peru pula, nama negara semakin harum apabila mereka mengiktiraf PM dengan pengiktirafan tertinggi negara itu.

"Anwar berjaya menggunakan ketrampilan diplomasinya untuk meningkatkan kerjasama dalam hubungan dagang dan teknologi. Sidang menteri ekonomi APEC (Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik) di Peru juga digunakan untuk menjalinkan hubungan lebih baik dengan syarikat teknologi China, TikTok, di samping menyantuni masyarakat Islam di Peru untuk meningkatkan kerjasama dakwah Islamiah di situ," katanya kepada Bernama hari ini.

Perdana Menteri memulakan lawatan rasmi ke Mesir atas jemputan Presiden Abdel Fattah El-Sisi sebelum ke Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam yang membincangkan situasi terkini di Palestin dan Lubnan serta perkembangan serantau.

Anwar kemudiannya mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak APEC 2024 di Lima, Peru dan seterusnya akan ke Rio de Janeiro, Brazil bagi memenuhi undangan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20. 

Sewaktu lawatan di Peru, Perdana Menteri dikurniakan penghormatan tertinggi kerajaan Peru iaitu Order of the Sun of Peru atau ‘El Sol del Peru’ oleh Presiden Peru Dina Ercilia Boluarte Zegarra dalam satu majlis yang berlangsung di Istana Kerajaan di Lima pada 13 Nov.

Tunku Mohar berkata Anwar juga telah menunjukkan bahawa beliau bersedia memimpin ASEAN dengan menjalinkan hubungan baik bukan saja secara diplomatik dengan negara-negara yang dilawatinya, tetapi juga secara peribadi dengan para pemimpin tertinggi pelbagai negara.

"Ini akan membantu beliau dalam memperkenalkan ASEAN di peringkat antarabangsa dan memudahkan lagi peningkatan kerjasama ASEAN dengan rantau luar," katanya.

Tunku Mohar juga berpandangan pendirian konsisten dibawa Anwar dengan membawa usul menghentikan kekejaman rejim Israel terhadap Palestin dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi pada 11 Nov menghasilkan resolusi yang cukup baik serta menunjukkan bibit awal kesatuan ummah. 

Ujarnya penegasan konsisten Anwar itu suatu yang berani dalam usaha menyedarkan masyarakat antarabangsa tentang isu Palestin yang bukan hanya mengenai soal agama malah ia merupakan konflik kemanusiaan yang perlu diselesaikan.  

"Pendirian Malaysia ini konsisten sejak dulu...beliau mengkritik sikap Barat yang berat sebelah dalam memihak kepada rejim Zionis Israel sejak sekian lama," katanya.

Turut senada, Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata pendekatan proaktif Anwar khususnya mengorak langkah bertemu pemimpin negara-negara Amerika Latin, dilihat mempunyai pengaruh besar dalam aspek rakan dagang.

"Negara-negara ini sudah lama berada dalam kesatuan-kesatuan ekonomi, misalnya dalam APEC. Malah penyertaan Malaysia dalam BRICS itu juga ada Brazil yang merupakan salah satu negara komponen dalam gabungan ini," katanya.

Beliau berkata dengan adanya jalinan dengan negara-negara itu, ia akan membantu meningkatkan imej dan potensi Malaysia terutamanya dalam mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai pengerusi ASEAN.

Mazlan berkata selain hubungan baik dengan China dan anggota ASEAN, penerokaan rakan dagang baharu di rantau Amerika Selatan juga penting kepada negara khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan, teknologi dan lawatan pertama Perdana Menteri ke rantau berkenaan sejak menjawat jawatan itu pada 2022, diyakini menjadi titik permulaan penerokaan peluang pelaburan di rantau itu.

"Negara seperti Brazil, Mesir dan Peru ini juga ialah pasaran yang baik terutama untuk sektor kelapa sawit. Ini secara tak langsung meningkatkan peluang eksport produk negara ke sana.

"Dari sudut geopolitik, (negara-negara) inilah yang akan mempertahankan Malaysia kerana produk kita seperti kelapa sawit misalnya kadang-kadang mendapat kempen-kempen yang negatif daripada negara Eropah," katanya yang turut yakin negara-negara itu boleh membantu menyokong industri sawit negara.

Selain itu, menurut Mazlan komitmen berterusan Perdana Menteri dalam isu genosid Gaza tidak dapat dinafikan terutamanya apabila Anwar dengan beraninya menyeru kepada penyingkiran Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Hari ini kita dapat maklumat terbaru, Australia yang kuat sekutunya dengan Amerika Syarikat dan Israel, kini nampaknya tidak bersama Israel dalam isu Palestin sebagai negara yang diiktiraf dalam PBB. Ini semua adalah hasil kejayaan Malaysia dan secara khusus kita sudah tunjukkan konsistensi menyokong Palestin dan saya yakin bahawa negara seperti Brazil dan Peru juga akan bersama Malaysia dalam isu Palestin," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan