DUNIA > BERITA

Gala Fesyen ALC Promosi Kekayaan Warisan Budaya ASEAN

23/11/2024 12:53 AM

Oleh Atira Khalisa Nor Adnan

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Gala Fesyen ASEAN Ladies’ Circle (ALC) : Menjalin Perpaduan ASEAN melalui Kebaya dan Sarung, anjuran ALC pada Jumaat, dianjurkan bagi mempromosikan kekayaan warisan budaya ASEAN sambil memperkukuh perpaduan serantau melalui fesyen, budaya dan masakan.

Duta Thailand ke Malaysia, Lada Phumas berkata inisiatif penganjuran acara ini tercetus hasil  perbincangan mengenai program aktiviti ALC selepas beliau dilantik sebagai Presiden ALC untuk penggal 2024-2025.

“Selepas projek pertama ALC Thailand, Cita Rasa Thai, berjaya diadakan pada Julai tahun ini, kami berhasrat menganjurkan acara bermakna yang bertujuan memupuk persefahaman dalam kalangan ahli ALC.

Selain itu, acara ini juga mencerminkan sokongan penuh ALC dan kedutaan ASEAN di Kuala Lumpur terhadap Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025, serta pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi Menteri-Menteri Kebudayaan dan Kesenian ASEAN (AMCA) bagi tempoh 2024-2026,” katanya dalam ucapan pada acara yang berlangsung di PUSPANITA, Kuala Lumpur.

Beliau berkata selain mencerminkan kesatuan dan kekayaan warisan budaya rantau ini melalui pakaian tradisional yang melambangkan keanggunan, ketabahan, dan penghormatan setempat, tema acara “Menjalin  Perpaduan ASEAN melalui Kebaya dan Sarung” amat sesuai dan tepat pada masanya.

“Ia juga peluang untuk menghargai usaha pencalonan multinasional oleh lima negara anggota ASEAN-- Brunei, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Singapura -- terhadap kebaya ikonik untuk disenaraikan sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO pada Disember 2024,” katanya.

Sementara itu, Penaung ALC Kuala Lumpur, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin berharap gala fesyen ini dapat memperkukuh kesatuan ASEAN menerusi warisan bersama ini.

“Saya berharap Gala Fesyen ALC ini bukan sahaja akan menyemarakkan semula kecintaan dan penghargaan terhadap kekayaan warisan budaya kami serta meningkatkan kesedaran mengenai keindahan dan tradisi, tetapi juga mengukuhkan lagi perpaduan ASEAN melalui warisan bersama ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan