DUNIA > BERITA

Bahrain Dan Malaysia Raikan Perkongsian Setengah Abad Yang Kukuh

25/11/2024 09:09 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) – Malaysia dan Bahrain mencapai satu lagi pencapaian penting dalam hubungan dua hala dengan meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada hari ini, mengetengahkan ikatan kukuh yang bertunjangkan wawasan bersama untuk kemajuan, saling menghormati, dan kerjasama untuk faedah bersama.

Duta Bahrain ke Malaysia, Dr Waleed Khalifa Al Manea berkata dalam tempoh lima dekad lampau, Bahrain dan Malaysia telah membangunkan perkongsian yang berlandaskan nilai bersama, termasuk komitmen terhadap kedaulatan negara, integriti wilayah, dan pematuhan terhadap prinsip Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau berkata, hubungan kedua-dua negara diasaskan atas kepercayaan, nilai kemanusiaan, dan kepentingan bersama yang diperkukuhkan dengan kepimpinan bijaksana Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al Khalifa dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

"Asas-asas ini ini telah membolehkan negara kita mengembangkan kerjasama dalam pelbagai bidang, memperkaya masyarakat kita dan memajukan kepentingan bersama kita di peringkat global," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Hubungan dua hala antara Bahrain dan Malaysia secara rasminya bermula pada 25 November 1974.

Al Manea berkata pemimpin Bahrain dan Malaysia telah memainkan peranan penting dalam memperdalam hubungan ini.

Kunjungan penting seperti keberangkatan Raja Hamad ke majlis pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Julai 2024, lawatan baginda ke Kuala Lumpur pada April 2017, serta lawatan Sultan Ibrahim ke Manama pada 2017 dan 2020, menggambarkan hubungan persaudaraan dan persahabatan antara kedua-dua negara, katanya.

Satu lagi pencapaian utama dalam perkongsian ini adalah penubuhan Jawatankuasa Tinggi Bersama bagi Kerjasama Dua Hala pada 2013, yang dipengerusikan bersama oleh Menteri-Menteri Luar kedua-dua negara. Jawatankuasa ini telah menjadi mekanisme penting untuk kerjasama berstruktur, menangani keutamaan dalam bidang kewangan, perdagangan, pendidikan, budaya, dan banyak lagi, katanya.

"Ia telah memantau penandatanganan pelbagai perjanjian yang telah merangsang pertukaran ekonomi dan budaya serta memperkukuhkan lagi hubungan kita," katanya.

Al Manea berkata, perdagangan dan pelaburan adalah tonggak utama dalam hubungan Bahrain-Malaysia kerana kedua-dua negara, yang mempunyai ekonomi terbuka, dinamik, dan berorientasikan antarabangsa, telah menikmati pertukaran perdagangan dan peluang pelaburan yang kukuh.

Perjanjian seperti Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain (EDB) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar Malaysia, baru-baru ini  telah membuka jalan untuk usaha sama dalam pembangunan industri, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan kerjasama tenaga, katanya.

"MoU antara EDB dan Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) untuk menggalakkan kerjasama dan meneroka peluang dalam sektor minyak dan gas, menggambarkan potensi untuk integrasi ekonomi yang lebih mendalam," katanya.

Duta itu juga menekankan bahawa hubungan budaya dan pendidikan antara Bahrain dan Malaysia telah berkembang maju, dengan pertukaran antara universiti dan institusi pendidikan memperkaya kehidupan golongan muda di kedua-dua negara.

Di arena multilateral, Al Manea berkata Bahrain dan Malaysia telah menunjukkan komitmen kuat terhadap kerjasama antarabangsa, dengan kedua-dua negara adalah anggota PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang aktif.

"Peranan bersejarah Bahrain sebagai negara Teluk pertama yang menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara pada 2019, bersama sokongan bersama terhadap hasil Sidang Kemuncak GCC (Majlis Kerjasama Teluk) - ASEAN di Riyadh pada 2023, mempamerkan dedikasinya untuk memupuk keamanan, keselamatan, dan kerjasama.

Matlamat bersama kita untuk memperdalam perkongsian Arab-Asia tercermin dalam kepemimpinan Bahrain sebagai Pengerusi Majlis Liga Arab dan Malaysia yang akan menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025," katanya.

Beliau menekankan bahawa nilai bersama, visi yang selaras untuk keamanan dan kemakmuran, serta komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap kerjasama akan terus membimbing Bahrain dan Malaysia untuk membina warisan ini.

Menzahirkan optimisme untuk masa depan, duta itu mengharapkan perkongsian yang lebih mendalam untuk menggalakkan inovasi, pembangunan mampan, dan kemajuan bersama.

Beliau berkata, ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Bahrain-Malaysia adalah peluang untuk menegaskan semula tekad bersama untuk meningkatkan perkongsian ini ke ufuk  baharu dan menyeluruh, memperkukuh keselamatan, keamanan, dan pembangunan mampan di peringkat serantau dan antarabangsa.

"Semoga persahabatan antara Bahrain dan Malaysia terus berkembang, membawa kemakmuran dan kestabilan kepada negara kita dan menjadi contoh kerjasama untuk komuniti global," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan