DUNIA > BERITA

Alumni Rusia Berperanan Sebagai Pemangkin Kukuhkan Hubungan Rusia-ASEAN

27/11/2024 04:52 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Forum Perniagaan Antarabangsa World of Opportunities: Russia-ASEAN menonjolkan pelbagai kerjasama dalam bidang pendidikan sebagai pemangkin hubungan erat, termasuk peranan penting persatuan alumni siswazah Rusia sebagai jambatan antara Rusia dan rantau ini.

Konsul Kehormat Rusia di Pulau Pinang, Teoh Seng Lee mencadangkan agar Malaysia menubuhkan persatuan alumni graduan Rusia sendiri sebelum mengambil inisiatif untuk mewujudkan persatuan serupa di peringkat ASEAN.

“Sudah tiba masanya untuk secara serius menganjur dan menyokong penubuhan persatuan alumni siswazah Rusia di seluruh ASEAN dan potensinya amat besar.

“Malaysia boleh memulakan inisiatif ini semasa memegang jawatan selaku pengerusi ASEAN tahun depan,” katanya kepada Bernama selepas menyertai sesi panel bertajuk Education as a Bridge between Russia and ASEAN Countries: How do universities and alumni communities boost ties? di sini, Rabu.

Teoh berkata, sektor pendidikan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan antara negara, di samping menjadi instrumen paling berkesan dalam soft diplomacy.

“United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, dan New Zealand memperoleh manfaat besar baik dari segi politik mahupun kewangan, hasil daripada ratusan ribu pelajar yang menjadi jambatan antara mereka dan ASEAN,” katanya.

Beliau berkata bahawa alumni siswazah Rusia di Kemboja dan Laos memegang jawatan tinggi dalam kerajaan serta di peringkat ASEAN.

Sementara itu, Rektor Universiti Synergy iaitu universiti swasta terbesar Rusia, Artem Vasiliev berkata bahawa institusi itu merancang menubuhkan hab pendidikan Rusia di Malaysia.

“Hab pendidikan ini akan berfungsi sebagai pintu masuk dan pusat perkhidmatan sokongan bagi pelajar Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran ke Rusia,” katanya.

Dalam pada itu, kenyataan media yang diedarkan semasa acara itu memetik Timbalan Menteri Industri dan Perdagangan Rusia, Alexey Gruzdev berkata bahawa Rusia sedang giat bekerjasama dengan negara-negara ASEAN dalam sektor seperti perubatan dan tenaga nuklear dengan perbincangan yang menjanjikan sedang berlangsung.

Forum dua hari yang berakhir hari ini dianjurkan oleh Yayasan Roscongress, sebuah institusi pembangunan bukan kewangan yang ditubuhkan melalui dekri Presiden Persekutuan Rusia pada 2007, bertujuan meningkatkan potensi ekonomi Rusia dan imej antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan