DUNIA > BERITA

Trump Namakan Bapa Mentua Anak Perempuannya Sebagai Penasihat Kanan Di Timur Tengah

02/12/2024 05:44 PM

WASHINGTON, 2 Dis (Bernama-AA) -- Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Ahad bahawa ahli perniagaan keturunan Lubnan-Amerika Massad Boulos akan berkhidmat sebagai penasihat kanan beliau untuk hal ehwal Arab dan Timur Tengah, lapor Agensi Anadolu (AA).

Trump berkata di platform Truth Social beliau bahawa Massad, yang juga bapa mentua kepada anak perempuannya, Tiffany, "merupakan seorang peguam yang berjaya dan pemimpin yang amat dihormati dalam dunia perniagaan, dengan pengalaman luas di peringkat antarabangsa."

"Beliau telah lama menjadi penyokong nilai-nilai Republikan dan Konservatif, aset kepada kempen saya dan memainkan peranan penting dalam membina gabungan baharu yang hebat dengan masyarakat Arab Amerika," tambahnya.

"Massad adalah pengatur perjanjian dan penyokong teguh KEAMANAN di Timur Tengah. Dia akan menjadi penyokong kuat untuk Amerika Syarikat dan kepentingannya, dan saya gembira beliau berada dalam pasukan kami!" catatnya.

Boulos adalah satu lagi nama daripada keluarga rapat Trump yang akan bekerjasama dalam penggal kedua beliau yang akan datang.

Pada Sabtu, Trump mengumumkan bahawa beliau mencalonkan Charles Kushner, seorang ahli perniagaan terkemuka dari New Jersey, untuk bertugas sebagai duta besar ke Perancis.

Kushner adalah bapa kepada Jared Kushner, menantu Trump yang berkhidmat sebagai penasihat kanan semasa pemerintahan beliau.

-- BERNAMA-AA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan