DUNIA > BERITA

China, Kemboja Komited Memperkasa Kerjasama Bilateral

04/12/2024 02:50 PM

BEIJING, 3 Dis (Bernama-CMG) -- China sentiasa melihat Kemboja sebagai satu keutamaan dalam diplomasi kejiranan dan bersedia berganding bahu dengan negara itu untuk membina komuniti berkongsi nasib China-Kemboja yang berkualiti tinggi, bertaraf tinggi dan berspesifikasi tinggi pada era baharu.

Perkara itu dinyatakan Presiden China Xi Jinping semasa perbincangan dengan Pengerusi Parti Rakyat Kemboja (CPP) merangkap Presiden Dewan Senat, Samdech Techo Hun Sen di sini pada Selasa.

Xi menyeru sokongan antara satu sama lain untuk mengukuhkan persahabatan antara kedua-dua negara.

“China menyokong dengan tegas usaha Kemboja dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan negara serta kepentingan pembangunan,” kata beliau.

Selain itu, Xi juga mencadangkan kedua-dua negara memperdalam pertukaran dan menimba pengalaman untuk mewujudkan pembangunan bersama.

“Parti Komunis China bersedia untuk mengukuhkan komunikasi strategik dengan CPP dan memperkasa kerjasama dalam latihan perkaderan bagi membantu Kemboja memacu pembangunan mengikut acuan negara sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut Xi berkata kedua-dua negara perlu merebut peluang daripada kerjasama bagi meneroka situasi sama menang yang baharu.

“China bersedia untuk bekerjasama dengan pihak Kemboja untuk melaksanakan pelan tindakan versi baharu berhubung komuniti berkongsi nasib, terus menambah elemen baharu ke rangka kerjasama “Diamond Hexagon”,” kata Xi.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk menggubal rancangan kerjasama mengenai “Koridor Pembangunan Perindustrian” dan “Koridor Jelapang Padi dan Ikan”, meningkatkan keberhasilan dalam pelaksanaan projek ikonik, dan bertindak pantas meningkatkan ketersambungan dalam pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) anjuran China dengan Strategi Pentagon anjuran Kemboja.

“China akan terus menyokong Kemboja untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam hal ehwal antarabangsa dan serantau.

“China komited mengukuhkan penyelarasan dan kerjasama dengan Kemboja untuk bersama-sama menangani pelbagai risiko,” tambah beliau.

Sementara itu, Hun Sen berkata pihaknya berpegang kepada prinsip Satu China dan menyokong usaha China dalam memelihara kepentingan teras milik negara sendiri.

“Kemboja bersedia bersama China untuk terus memupuk rasa saling percaya dalam bidang politik, mengambil tindakan tulen memperkasakan kerjasama dalam pelbagai bidang demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

“Selain itu, Kemboja juga komited mengukuhkan penyelarasan dan kerjasama dengan China dalam hal ehwal antarabangsa dan serantau,” kata beliau.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan