DUNIA > BERITA

PAMERAN PELANCONGAN MALAYSIA YOGYAKARTA SEMARAKKAN BUDAYA, PELANCONGAN DAN PENGALAMAN BAHARU

16/12/2024 10:23 PM

YOGYAKARTA, 16 Dis (Bernama) -- Pameran Pelancongan Malaysia yang melabuhkan tirainya pada Ahad berjaya mengetengahkan produk pelancongan dan kebudayaan Malaysia sambil memukau pengunjung dengan pelbagai persembahan menarik.

Pameran itu turut menyemarakkan minat terhadap sektor pelancongan dalam kalangan penduduk tempatan, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai keunikan destinasi serta budaya Malaysia.

Antara tarikan termasuk demonstrasi teh tarik oleh Fakir Mohamed Jamal Mohamed yang popular mempamerkan pelbagai kemahiran membuat teh tarik yang menakjubkan dengan teknik-teknik luar biasa.

Selain itu, pengunjung turut disajikan dengan persembahan tarian tradisional daripada Briged Seni Melaka, kumpulan tarian rasmi negeri Melaka yang menampilkan keunikan dan kekayaan warisan budaya negeri itu.

Dengan pelbagai pakaian tradisional yang berwarna-warni, para penari bergerak dengan anggun mengikut irama muzik, persembahan bertenaga itu berjaya memukau para penonton bersama menari di atas pentas di penghujung persembahan.

Sementara itu, eksekutif  Always Tour and Travel, Desvita berkata pameran itu berjaya menarik minat yang besar terhadap pakej pelancongan ke Malaysia.

Beliau berkata banyak pertanyaan mengenai perjalanan pelbagai destinasi, terutamanya ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan ke Singapura atau Thailand.

"Sebahagian besar pertanyaan datang daripada keluarga yang merancang percutian sempena cuti sekolah," katanya.

Pameran tiga hari yang menonjolkan budaya dan warisan Malaysia dianjurkan Tourism Malaysia Jakarta dengan kerjasama Persatuan Agensi Pelancongan dan Perjalanan Indonesia (Asita) dan Persatuan Ejen Pelancongan Indonesia (Astindo).

Pengarah Tourism Malaysia Jakarta Hairi Mohd Yakzan berkata ia menyoroti destinasi pelancongan di Malaysia dan turut mencetuskan rasa ingin tahu serta membina jambatan budaya antara Malaysia dan Indonesia. 

"Usaha ini bukan sahaja mengenai promosi pelancongan tetapi juga memupuk pemahaman dan hubungan yang lebih mendalam antara kedua-dua negara," katanya, sambil menambah Yogyakarta merupakan antara bandar raya besar dengan kesalinghubungan dan perlu diterokai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan