Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 21 Dis (Bernama) -- Wilayah Indochina, yang dahulunya terjejas akibat peperangan dan penderitaan, kini muncul sebagai destinasi pelancongan yang berkembang pesat, menarik jutaan pelancong asing setiap tahun dengan tarikan ikoniknya.
Laos, Kemboja dan Vietnam secara berkumpulan telah menarik 25 juta pelancong setakat tahun ini, dan angka itu dijangka menjana lebih RM135 bilion (AS$30 bilion) menjelang penghujung 2024.
Dalam laporan terkini The Lonely Planet bertajuk “22 of the Best Places to Visit in Asia in 2025”, menobatkan Luang Prabang di Laos sebagai destinasi paling menarik, diikuti Bangkok, Angkor Wat di Kemboja, dan bandar warisan Vietnam, Hoi An.
Keajaiban yang tiada tandingan - tamadun kaya, banjaran gunung yang indah, pantai eksotik dan tapak arkeologi terus memikat pengembara dari pelbagai segmen, daripada golongan milenium hingga warga emas dari seluruh dunia.
Wilayah Indochina yang beriklim tropika ini dengan pantas berubah menjadi ekonomi yang dinamik selepas berjaya mengatasi cabaran akibat peperangan berpanjangan, kemiskinan, pengasingan, dan cabaran iklim.
“Tiga lokasi ini kini menikmati kestabilan politik dan menarik pelancong antarabangsa, terutamanya Vietnam. Kerajaan masing-masing juga giat mempromosikan pelancongan sebagai sumber pendapatan.
Sebelum ini, negara-negara ini kurang mendapat perhatian, tetapi kini pemain industri pelancongan melihat daya tarikan mereka yang semakin meningkat," kata Presiden Persekutuan Persatuan Pelancongan ASEAN, Datuk Tan Kok Liang kepada Bernama dari Kuala Lumpur.
Kegigihan penduduk Indochina telah mengubah kesusahan ekonomi menjadi pasar perdagangan yang rancak, tinggalan seni bina menjadi keajaiban pelancongan, kawasan periuk api menjadi sawah padi yang mempesonakan, dan budaya serta warisan mereka kini menjadi tarikan yang dikagumi pelancong asing.
Lebih 1.9 juta pelancong asing telah melawat Luang Prabang yang menakjubkan, terletak di tepi Sungai Mekong, setakat tahun ini. Ia menempatkan kuil purba, pergunungan indah, dan penganjuran festival penuh warna-warni.
Industri pelancongan Laos dijangka menjana pendapatan melebihi RM4.5 bilion (AS$1 bilion) tahun ini, berkemungkinan menjadi rekod pendapatan tertinggi.
Vietnam pula mengalami ledakan industri pelancongan. Menurut Pejabat Statistik Am Vietnam, empat juta pelancong antarabangsa telah melawat Hanoi, yang dengan pantas menjadi destinasi global dengan gabungan kekayaan warisan budaya dan tarikan moden.
Hoi An, bandar purba di pantai tengah Vietnam, menarik hampir empat juta pelawat tahun ini, manakala negara itu dijangka menerima 16 juta pelawat pada 2024.
Sementara itu, di Kemboja, Taman Arkeologi Angkor yang terkenal di dunia di Siem Reap, yang menempatkan Angkor Wat yang ikonik, telah menerima 972,504 pelancong asing setakat minggu ini. Jualan tiket sahaja menjana US$42 juta sehingga November, menurut Angkor Enterprise yang menguruskan kompleks itu.
Wilayah Indochina yang strategik kini menyaksikan perubahan ketara dari segi hubungan udara, pembangunan infrastruktur, kemudahan pelancongan, hotel, hingga ke pulau peranginan romantik.
“Pelaburan dalam sektor pelancongan meningkat untuk membangunkan infrastruktur dan kemudahan hotel. Vietnam, sebagai contoh, telah memperbaiki kemudahannya dan menawarkan pelbagai tarikan budaya serta warisan yang popular dalam kalangan pelancong asing.
“Kemudahan hubungan yang lebih baik telah membantu wilayah Indochina berkembang, dan mereka berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pasaran ASEAN yang mempunyai kira-kira 670 juta penduduk. Semua destinasi jarak dekat mampu menarik pelancong,” kata Tan.
Pengaruh media sosial, penulis blog, inisiatif pelancongan kerajaan, perjalanan mampu milik, kestabilan politik, dan keselamatan yang dipertingkatkan untuk pelancong terus memacu pendapatan pelancongan di rantau yang dahulunya berada di luar impian ramai pengembara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial