DUNIA > BERITA

Perdana Menteri Jepun Ishiba Lawat Malaysia, Indonesia 9-12 Jan

27/12/2024 04:34 PM

TOKYO, 27 Dis (Bernama-Kyodo) -- Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dan Indonesia dari 9 hingga 12 Jan untuk memperkukuh kerjasama dengan negara Asia Tenggara dalam merealisasikan Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan berasaskan peraturan, lapor Agensi Berita Kyodo pada Jumaat. 

Semasa lawatan itu, Ishiba dijangka mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto, kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshimasa Hayashi dalam satu sidang media. 

Malaysia akan mempengerusikan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada tahun depan. 

“Adalah penting untuk Jepun mengukuhkan hubungan dengan negara Asia Tenggara yang terletak berhampiran laluan laut utama dan dilihat sebagai enjin pertumbuhan ekonomi.

“Kami berharap pertemuan ini akan membantu membina hubungan peribadi antara pemimpin, menjadi peluang untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan keselamatan, serta mengesahkan penyelarasan terhadap pelbagai cabaran global,” kata Hayashi. 

Sejak memegang jawatan pada Oktober lalu, Ishiba menghadiri beberapa mesyuarat pelbagai hala di luar negara, namun ini adalah lawatan pertamanya yang diadakan khusus bagi perbincangan dua hala. 

-- BERNAMA-KYODO


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan