DUNIA > BERITA

PM Kanada Dijangka Letak jawatan Sebagai Ketua Parti

06/01/2025 05:21 PM

OTTAWA, 6 Jan (Bernama-Xinhua) -- Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dijangka mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Parti Liberal seawal Isnin, lapor Xinhua yang memetik laporan The Globe and Mail pada Ahad.

Trudeau menghadapi pemberontakan dalam kalangan anggota kaukusnya serta tinjauan pendapat awam yang suram, menunjukkan partinya berkemungkinan besar akan tewas teruk kepada Parti Konservatif pimpinan Pierre Poilievre, menurut laporan itu.

Sumber bagaimanapun memberitahu akhbar harian Kanada itu, masih belum jelas sama ada Trudeau akan meletakkan jawatan serta-merta atau kekal sebagai Perdana Menteri sehingga pemimpin baharu dipilih.

Trudeau mungkin kekal sebagai Perdana Menteri sehingga pemimpin baharu dilantik bagi menguruskan pentadbiran baharu Donald Trump serta ancaman pentadbiran itu untuk mengenakan tarif 25 peratus, menurut laporan tersebut.

Menteri Kewangan Kanada Dominic LeBlanc dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Melanie Joly dihantar ke Amerika Syarikat pada 27 Disember untuk bertemu pasukan Trump bagi menilai sama ada Trump berpuas hati dengan pengumuman pelaburan sempadan baharu oleh Kanada baru-baru ini.

Walaupun kedua-dua menteri itu tidak memperoleh komitmen untuk menangguhkan tarif, jurucakap LeBlanc menyatakan mesyuarat tersebut "produktif" dan positif, serta perbincangan akan diteruskan dalam beberapa minggu akan datang, menurut media tempatan.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan