DUNIA > BERITA

Memperkukuhkan Hubungan Jepun-Malaysia: Fasa Baru Dalam Perkongsian Strategik Komprehensif

09/01/2025 06:00 AM

Oleh Shigeru Ishiba, Perdana Menteri Jepun

Selamat Tahun Baru, diucapkan kepada semua warga Malaysia.

Semenjak saya menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Jepun pada Oktober yang lalu, lawatan ke Malaysia kali ini merupakan lawatan dua hala ke luar negara yang pertama bagi saya. Lawatan saya ke Malaysia ini, merupakan satu penghormatan besar bagi saya, kerana negara Malaysia memikul tanggungjawab penting sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.

Malaysia dan Jepun kedua-duanya merupakan negara perdagangan dan negara maritim yang berkongsi prinsip asas serta nilai-nilai bersama.

Kami telah meningkatkan hubungan dua hala kepada "Perkongsian Strategik Komprehensif" pada Disember 2023, yang kini mewujudkan kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang, termasuk keselamatan, transformasi hijau (GX) dan kerjasama dalam arena antarabangsa.

Di tengah-tengah konfrontasi dan perpecahan yang semakin meningkat dan ketidaktentuan di peringkat antarabangsa, adalah amat penting bagi Jepun dan Malaysia, komited untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan bekerjasama ke arah merealisasikan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.

Kerjasama sedemikian adalah penting untuk keamanan dan kemakmuran kedua-dua negara dan rantau yang lebih luas.

Sehubungan dengan itu, saya berhasrat untuk memperbaharui hubungan kerjasama kami sebagai "Rakan Kongsi Strategik Komprehensif" dan membina hubungan yang lebih mendalam meliputi beberapa lapisan yang bakal saya ketengahkan dalam pertemuan saya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hubungan Jepun-Malaysia diasaskan berdasarkan pertukaran hubungan tenaga mahir di antara kedua-dua buah negara.

Sejak Malaysia memulakan Dasar Pandang Ke Timur pada tahun 1982, kira-kira 28,000 rakyat Malaysia telah belajar di Jepun. Selain itu, kedua-dua negara bekerjasama melalui Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) dan kampus cawangan Universiti Tsukuba.

Saya berharap institusi-institusi ini akan menghasilkan bakat mahir yang akan memainkan peranan penting dalam membentuk hubungan dua hala pada masa depan.

Pertukaran budaya dan ekonomi sama pentingnya dengan pendidikan. Pada bulan April tahun ini, Ekspo 2025 Osaka Kansai akan dianjurkan oleh Jepun. Malaysia akan mempamerkan pavilion di bawah tema “Menenun Masa Depan Secara Harmoni.” Saya berharap ramai orang dari Malaysia akan datang ke Jepun, merasai suasana masa depan di Ekspo, dan menerokai peluang perniagaan.

Dalam bidang ekonomi, Jepun telah lama menjadi salah satu rakan pelaburan dan perdagangan bagi Malaysia, dantelah berkembang bersama. Hari ini, LNG dan semikonduktor buatan Malaysia menjadi satu keperluan penting dalam kehidupan seharian di Jepun.

Saya tidak akan lupa bagaimana selepas Gempa Besar Jepun Timur pada tahun 2011, Petronas dengan cepat membekalkan LNG ke kawasan bencana pada waktu permintaan dan bekalan LNG di Jepun sedang meruncing. Prinsip kemampanan dan daya cipta dalam dasar “Madani” Malaysia dikongsi oleh Jepun dan Malaysia.

Sepanjang lawatan ini, saya berhasrat untuk merealisasikan kemajuan hubungan ekonomi Jepun-Malaysia, dengan mengambil kira bidang-bidang kerjasama baharu termasuk meningkatkan ketahanan rantaian bekalan dan unsur nadir bumi.

Di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang telah kukuh, penyahkarbonan dan peralihan tenaga adalah cabaran utama di Asia Tenggara.

Bersama Malaysia, yang bertujuan untuk mencapai neutral karbon menjelang 2050, kita akan bekerjasama untuk mencapai penyahkarbonan, pertumbuhan ekonomi dan keselamatan tenaga secara serentak melalui inisiatif Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC).

Selain itu, Jepun berhasrat untuk mempercepatkan perbincangan dan menandatangani dokumen Mekanisme Pengkreditan Bersama (JCM) dengan Malaysia pada peluang yang terdekat. JCM akan menyumbang kepada pengurangan emisi di kedua-dua negara melalui penggunaan teknologi penyahkarbonan terkemuka dan penciptaan kredit karbon kami.

Saya dimaklumkan bahawa banjir telah menjadi isu utama di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya berhasrat untuk membincangkan bagaimana Jepun boleh menawarkan perkongsian kepakaran dalam mengawal bencana banjir dan menyumbang dalam bidang pengurangan risiko bencana.

Di seluruh rantau ini dan di seluruh dunia, persekitaran keselamatan telah menjadi semakin teruk.

Melihat kepada situasi serantau dan antarabangsa, persekitaran keselamatan semakin meruncing, dengan kejadian terbaru seperti peristiwa pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan situasi di Timur Tengah baru-baru ini.

Sebarang percubaan untuk mengubah status quo secara unilateral melalui kekerasan atau paksaan tidak boleh diterima oleh mana-mana pihak di dunia.

Jepun sedang berusaha untuk menerajui dunia ke arah kerjasama, bukannya perpecahan atau konfrontasi. Pengukuhan kerjasama keselamatan maritim dengan Malaysia, yang dihubungkan oleh Lautan Pasifik dan Hindi, akan menyumbang dalam merealisasikan Indo-Pasifik Bebas dan Terbuka (FOIP).

Dari perspektif ini, Jepun telah dan akan terus meningkatkan kerjasama dengan Malaysia melalui Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA), Bantuan Pembangunan Rasmi (ODA) serta aktiviti Pasukan Pertahanan Diri Jepun dan Pengawal Pantai Jepun. Selain itu, kami akan menggalakkan kerjasama dalam bidang keselamatan siber, denganmemanfaatkan teknologi maju Jepun.

Jepun komited untuk menyokong kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam menangani pelbagai isu dalam komuniti antarabangsa dan serantau.

Khususnya, Jepun amat prihatin terhadap situasi kemanusiaan kritikal yang berterusan di Semenanjung Gaza, dan telah memberikan bantuan kemanusiaan berjumlah kira-kira 230 juta USD kepada rakyat Palestin sejak 7 Oktober 2023.

Selain itu, Jepun telah menyokong pembinaan semula pertanian di Palestin bersama Malaysia, yang mempunyai kepakaran dalam pertanian tropika. Jepun melancarkan Persidangan di kalangan Kerjasama Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) pada 2013 sebagai inisiatif unik untuk menyokong Palestin, dan kami berharap dapat memanfaatkan rangka kerja ini bersama-sama dengan Malaysia untuk menyumbang kepada penstabilan situasi di Timur Tengah.

Tugasan diplomasi saya pada tahun 2025 secara rasmi bermula di Malaysia.

Menerusi tarikan ekonomi dan budaya Malaysia, saya yakin bahawa ramai rakyat Jepun akan terus mengunjungi negara ini.

Saya percaya bahawa hubungan Jepun-Malaysia akan terus berkembang melalui pertukaran yang lebih pelbagai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan