DUNIA > BERITA

Lawatan Pemimpin Beberapa Negara Ke Malaysia Tanda Sokongan Kepengerusian ASEAN

11/01/2025 05:05 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Lawatan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto ke Malaysia sejurus negara mengambil alih kepengerusian ASEAN 2025 membawa simbolik dan makna yang sangat mendalam dari aspek sokongan, kata Prof Madya Dr Khoo Ying Hooi dari Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya.

Beliau berkata Malaysia mempunyai peluang yang sangat besar tahun ini untuk membuat ‘breakthrough’ bagi menunjukkan kepimpinan ASEAN yang lebih tegas dan berbeza.

 “Setiap tahun ada negara jadi pengerusi (ASEAN), ada negara yang tidak begitu lantang dan corak politik serantau akan jadi lebih malap. Maka tumpuan akan diberi kepada Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand kerana untuk menjadi pengerusi memerlukan kapasiti yang sangat tinggi,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam program Ruang Bicara Mendepani 2025 terbitan BernamaTV Jumaat malam. 

Selain lawatan pemimpin negara anggota ASEAN, Malaysia turut menerima lawatan Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba minggu ini. 

Menurut Khoo, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra sebagai anggota penasihat mengenai ASEAN merupakan strategi dan cara yang agak inovatif dan tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pengerusi ASEAN sebelum ini.

Ujian  besar kepada perdana menteri dan pasukan penasihat ialah apakah mereka  bakal membawa ASEAN kepada satu pencapaian  progresif dan berbeza, katanya. 

Sementara itu seorang lagi ahli panel dalam program itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Putra Business School Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata Malaysia harus mengambil peluang untuk memperkukuh lagi kewangan ASEAN sepanjang tempoh negara menjadi Pengerusi ASEAN memandangkan ekonomi rantau ini masih rapuh. 

Beliau berkata ini bagi memastikan tidak berlaku lagi krisis kewangan seperti sebelum ini. 

Menurut Ahmed Razman, pada masa yang sama Malaysia harus memastikan kepercayaan antara semua negara anggota ASEAN dipertingkatkan supaya tidak ada syak wasangka dan semua memahami objektifnya adalah untuk kemakmuran bersama.

Dalam bisnes, kepercayaan dapat meningkatkan dan memperkukuh objektif dalam mencapai pembangunan bersama, katanya. 

Ahmed Razman berkata antara inisiatif yang boleh diperkenalkan Malaysia ialah menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

Menurut beliau, tenaga boleh diperbaharui merupakan satu isu yang harus ditangani kerana ia melibatkan potensi ekonomi sesuatu negara dan ini adalah  peluang untuk memastikan kelestarian dari segi penghasilan tenaga.

ASEAN terdiri daripada 10 negara anggota iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Malaysia kini menjadi pengerusi ASEAN buat kali kelima selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan