DUNIA > BERITA

Presiden Abbas Adakan Perbincangan Dengan Pelbagai Pihak, Segerakan Gencatan Senjata

13/01/2025 06:59 PM

RAMALLAH (Palestin), 13 Jan (Bernama-WAFA) -- Jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Ahad menyatakan bahawa kepimpinan Palestin telah bekerja tanpa mengenal penat untuk menghentikan pertumpahan darah dan melindungi rakyat Palestin daripada kengerian perang, termasuk kematian, kemusnahan dan pemindahan secara paksa, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Nabil Abu Rudeineh menegaskan bahawa Presiden Mahmoud Abbas sedang mengadakan perbincangan dan pertemuan yang meluas dengan pelbagai pihak Arab dan antarabangsa untuk mempercepat perjanjian gencatan senjata yang mampu menamatkan serangan Israel.

Usaha ini bertujuan untuk melaksanakan resolusi antarabangsa, termasuk Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2735, yang menyeru gencatan senjata segera, penghantaran bantuan kemanusiaan mendesak ke Gaza, pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari kawasan itu, serta membolehkan Negara Palestin memikul tanggungjawab sepenuhnya di Gaza.

“Masanya telah tiba untuk memaksa Israel menghentikan perang terhadap rakyat kami di Gaza, menghentikan pencerobohan dan pelanggarannya di Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, serta menghentikan keganasan peneroka haram yang berterusan terhadap tanah Palestin, rakyat dan tempat suci,” kata Abu Rudeineh.

Beliau turut mengecam tindakan berterusan Israel merampas tanah dan dana cukai Palestin, yang disifatkannya sebagai bentuk rampasan.

Jurucakap itu menegaskan bahawa pematuhan kepada legitimasi Arab dan antarabangsa adalah penting untuk mencapai keselamatan dan kestabilan di rantau ini.

-- BERNAMA-WAFA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan