DUNIA > BERITA

Pencapaian 69 Perkara Dalam Dialog Ekonomi Dan Kewangan China-Britain Ke-11

14/01/2025 03:53 PM

BEIJING 14 Jan (Bernama-CMG) -- Dialog Ekonomi dan Kewangan China-Britain ke-11 yang melabuhkan tirainya baru-baru ini menyaksikan kedua-dua pihak mencapai perjanjian tentang 69 perkara yang saling menguntungkan.

Dialog itu dipengerusikan bersama oleh Naib Perdana Menteri China He Lifeng dan Menteri Kewangan Britain Rachel Reeves, menurut Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun dalam sidang media di sini pada Isnin.

Guo berkata China dan Britain mencapai kata sepakat untuk mengekalkan amalan multilateralisme dan globalisasi ekonomi. Kedua-dua negara juga bersetuju untuk melindungi mekanisme perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), serta membentuk landskap ekonomi dunia yang terbuka.

Sementara itu, kedua-dua pihak berpendapat bahawa kerjasama China-Britain akan memberi manfaat kepada pembangunan kedua-dua negara.

Kedua-dua negara sepakat untuk menjaga keselamatan dan kelancaran rantai pembekalan global, menolak “memutuskan hubungan,” mengurangkan halangan pelaburan dan mewujudkan persekitaran urus niaga yang terbuka serta tanpa diskriminasi.

Dalam dialog itu, China dan Britain juga mencapai kata sepakat dalam kerjasama perindustrian, pertanian dan sumber tenaga. Mereka juga akan mengadakan dialog kerjasama antara Jawatankuasa Persekutuan Ekonomi dan Perdagangan dan Jawatankuasa Persekutuan Sains dan Teknologi kedua-dua negara secepat mungkin di samping mengeratkan hubungan rakan kerjasama perindustrian moden dan meningkatkan kerjasama untuk menghadapi perubahan iklim.

Dialog itu menumpukan kepada kerjasama dalam dasar ekonomi, kewangan, dan penyeliaan kewangan, dengan banyak persetujuan dicapai mengenai keterbukaan pasaran kewangan dan kesalinghubungan.

Guo berkata pelbagai pencapaian itu memperlihatkan kerjasama ekonomi dan kewangan China-Britain yang berdimensi, selaras dengan trend globalisasi ekonomi dan amalan multilateral yang dipercayai akan membawa manfaat kepada kedua-dua negara bahkan dunia.

China bersedia bersama-sama Britain berpandukan konsensus yang dicapai pemimpin kedua-dua negara, bertindak pantas melaksanakan perjanjian yang dicapai dalam dialog kali ini dengan menyasarkan kemajuan yang lebih substantif dan besar, yang dilihat boleh menyuntik motivasi baharu kepada hubungan China-Britain malah menyerlahkan kehebatan baharu dalam pertumbuhan ekonomi dunia.

--BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan