DUNIA > BERITA

Timbalan Gabenor Makkah Rasmikan Persidangan Dan Pameran Haji 2025

14/01/2025 06:38 PM

JEDDAH, 14 Jan (Bernama-SPA) -- Timbalan Gabenor Wilayah Makkah, Putera Saud bin Mishal bin Abdulaziz, pada Isnin malam merasmikan "Persidangan dan Pameran Haji 2025" yang bertemakan “Laluan ke Nusuk”, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Acara tahunan edisi keempat ini dianjurkan oleh Kementerian Haji dan Umrah dengan kerjasama Program Pengalaman Jemaah, satu daripada inisiatif Wawasan Saudi 2030,  dan berlangsung di Jeddah Superdome dari 13 hingga 16 Januari.

Putera Saud turut melawat pameran yang diadakan bersebelahan persidangan itu. Pameran yang meliputi kawasan seluas 50,000 meter persegi itu memfokuskan kepada perkhidmatan Haji, dengan mempamerkan teknologi dan inovasi terkini bagi memperkayakan pengalaman Haji serta meningkatkan perkhidmatan kepada para jemaah.

Acara selama empat hari ini melibatkan penyertaan 280 pempamer daripada pelbagai sektor, lebih 100 penceramah, penyedia perkhidmatan tempatan dan antarabangsa, serta pihak berkepentingan berkaitan Haji dari lebih 100 negara.

Program ini juga merangkumi 50 perbincangan panel yang memberi tumpuan kepada masa depan sektor berkaitan jemaah Haji, dengan kehadiran dijangka mencecah 150,000 pengunjung.

-- BERNAMA-SPA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan