DUNIA > BERITA

Korea Selatan Tingkat Kerjasama ASEAN Melalui Kepengerusian Malaysia - Timbalan Menteri Luar

17/01/2025 04:10 PM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Korea Selatan berjanji menjalin hubungan yang lebih kukuh dengan ASEAN di bawah Kepengerusian Malaysia, memfokuskan kepada keterbukaan, keterangkuman dan norma antarabangsa yang selaras dengan Pandangan ASEAN tentang Indo-Pasifik (AOIP).

Timbalan Menteri Luar Korea Selatan Chung Byung-won, berkata penggubalan Kenyataan Bersama mengenai Kerjasama AOIP pada Sidang Kemuncak Korea Selatan-ASEAN 2023 menekankan visi bersama negara itu dan ASEAN untuk kerjasama dalam bidang keutamaan utama.

“Dokumen penting ini mencerminkan komitmen bersama ASEAN dan Korea Selatan untuk mengukuhkan kerjasama dalam empat bidang keutamaan: kerjasama maritim, ketersambungan, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta ekonomi dan bidang lain yang berpotensi,” kata Chung kepada Bernama.

Beliau membuat kenyataan itu dalam wawancara eksklusif secara bertulis sempena Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) yang berlangsung dari 18-19 Jan di Langkawi, Kedah.

Beliau menambah bahawa Strategi Indo-Pasifik Korea (IPS) dan Inisiatif Solidariti Korea-ASEAN (KASI) sangat selaras dengan AOIP dalam mempromosikan keterbukaan, keterangkuman dan norma antarabangsa. Projek perdana seperti Korea-ASEAN Digital Flagship (KADIF) dan Partnership for ASEAN-ROK Methane Action (PARMA) menyokong objektif ini.

“Korea Selatan akan terus mengukuhkan kerjasama keselamatan dengan ASEAN untuk menegakkan peraturan berasaskan undang-undang, memperkukuhkan kerjasama dalam pertahanan dan industri pertahanan, serta menangani masalah keselamatan siber dan jenayah rentas negara,” tambahnya.

Mengenai Laut China Selatan, Chung menekankan bahawa satu pertiga daripada jumlah import dan eksport Korea Selatan melalui kawasan tersebut.

“Ia termasuk 76.5 peratus daripada minyak kami dan 50.7 peratus daripada gas kami, menunjukkan betapa pentingnya Laut China Selatan bagi keselamatan ekonomi Korea,” katanya.

Oleh itu, beliau menegaskan semula komitmen Korea Selatan untuk menegakkan peraturan maritim berasaskan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan menyokong negara anggota ASEAN dalam meningkatkan keupayaan penguatkuasaan undang-undang maritim.

“Menjamin keamanan, kestabilan dan keselamatan di rantau ini adalah asas bukan sahaja untuk kemakmuran berterusan Korea tetapi juga ASEAN,” tambah Chung.

Mengenai krisis yang berterusan di Myanmar, Chung menyatakan kebimbangan terhadap situasi yang semakin buruk dan menekankan keperluan untuk tindakan antarabangsa yang bersatu.

“Kami bimbang bahawa situasi terus tegang, dengan pertempuran berpanjangan antara tentera dan pihak pembangkang di seluruh Myanmar,” katanya.

Beliau menekankan usaha Korea Selatan untuk menangani keperluan kemanusiaan, dengan menyatakan bahawa negara itu telah memberikan bantuan kemanusiaan berjumlah US$23 juta untuk rakyat Myanmar dan pelarian Rohingya pada tahun lalu, empat kali ganda daripada jumlah tahun-tahun sebelumnya.

“Korea Selatan juga menyokong usaha ASEAN untuk memperbaiki keadaan kemanusiaan di Myanmar dengan menyediakan bantuan US$1.5 juta melalui Pusat AHA, yang berfungsi sebagai saluran bantuan kemanusiaan yang penting kepada rakyat Myanmar,” katanya.

Mengenai Semenanjung Korea, Chung menegaskan kepentingan penghapusan senjata nuklear Korea Utara untuk merealisasikan rantau Indo-Pasifik yang aman dan makmur, serta kepimpinan Malaysia dalam ASEAN dalam menyeru Korea Utara untuk mematuhi resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kami berharap di bawah Kepengerusian  Malaysia, ASEAN akan terus menghantar mesej yang jelas dan tegas kepada Korea Utara,” tambahnya.

Begitu juga dengan krisis global, termasuk konflik di Timur Tengah, Chung mengulangi perakuan Korea Selatan untuk penyelesaian damai.

“Contohnya, Kenyataan Bersama mengenai penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif antara Korea Selatan dan Malaysia tahun lepas termasuk perenggan yang menyokong penyelesaian konflik secara aman di Timur Tengah,” katanya.

Korea Selatan adalah rakan dialog keenam ASEAN yang mencapai tahap hubungan tertinggi, selepas Amerika Syarikat, China, Jepun, Australia dan India.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan