DUNIA > BERITA

Permukiman Menteri Luar ASEAN Tumpu Isu Serantau Dan Antarabangsa

18/01/2025 11:56 AM

Oleh Linda Khoo

LANGKAWI, 18 Jan (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mempengerusikan Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM Retreat) pada Ahad, yang akan membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa.  

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri, AMM juga akan membincangkan hala tuju strategik ASEAN, usaha memperkukuh Komuniti ASEAN serta hubungan luar ASEAN.  

“Menteri-Menteri Luar ASEAN akan bertukar pandangan mengenai perkembangan terkini berkaitan isu serantau dan antarabangsa, termasuk krisis di Myanmar, ketegangan geopolitik, serta cabaran lain yang memberi kesan kepada keamanan dan kestabilan serantau.  

“Menteri Luar juga akan mengambil peluang untuk mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya bagi membincangkan isu-isu berkaitan pengukuhan ASEAN dan hubungan dua hala,” menurut kenyataan itu.  

Permukiman AMM akan disertai oleh Menteri-Menteri Luar dan pegawai kanan dari negara anggota ASEAN.  

Menteri Luar Timor-Leste juga akan mengambil bahagian sebagai pemerhati. Turut hadir ialah Setiausaha Agung ASEAN Dr. Kao Kim Hourn serta wakil dari Myanmar.  

Kementerian yang turut dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan mesyuarat itu akan meneliti tindakan susulan terhadap keputusan yang dibuat semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Vientiane, Laos, pada Oktober tahun lalu.  

Sepanjang permukiman ini, Malaysia akan membentangkan keutamaan dan hasil yang dirancang di bawah tema kepengerusian iaitu "Keterangkuman dan Kemampanan."  

“Malaysia akan menonjolkan kepimpinannya dalam memperkukuh Komuniti ASEAN melalui bidang keutamaan dan pencapaian yang dikenal pasti merangkumi tiga tonggak utama: politik-keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya.  

“Ini akan mencerminkan objektif Malaysia dalam mewujudkan ASEAN yang lebih bersepadu, keterangkuman dan mampan, di samping meningkatkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau,” menurut kenyataan itu.

Permukiman AMM adalah mesyuarat pertama dalam kalendar tahunan ASEAN di peringkat Menteri di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia bagi 2025.  

Lebih 200 delegasi dari 10 negara anggota ASEAN serta negara pemerhati Timor-Leste turut menghadiri permukiman itu.

-- BERNAMA  

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan