DUNIA > BERITA

Menteri Luar Timor-Leste Sertai Permukiman AMM Di Langkawi Sebagai Pemerhati

18/01/2025 06:28 PM

Oleh Linda Khoo

LANGKAWI, 18 Jan (Bernama) -- Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste Bendito dos Santos Freitas tiba di Langkawi bagi menghadiri Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM Retreat) sebagai pemerhati.  

Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada tengah hari Sabtu, dengan permukiman dijadualkan berlangsung pada Ahad.  

Ini merupakan penyertaan sulung Bendito Freitas dalam AMM sebagai pemerhati ASEAN sejak beliau dilantik sebagai Menteri Luar pada Julai 2023.  

Permukiman AMM adalah mesyuarat pertama dalam kalendar tahunan ASEAN di peringkat Menteri di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia bagi 2025.

Timor-Leste kini menunggu konsensus negara anggota ASEAN untuk diterima sebagai anggota penuh blok serantau itu, setelah memohon keanggotaan pada 2011.  

Pada November 2022, semasa kepengerusian Kemboja, ASEAN secara prinsipnya menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11 dan memberikan status pemerhati, membolehkan negara itu menyertai semua mesyuarat ASEAN termasuk sesi pleno di Sidang Kemuncak.  

Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Labuan Bajo, Indonesia pada Mei 2023, ASEAN meluluskan pelan hala tuju keanggotaan penuh Timor-Leste dan menggesa negara itu mempergiatkan persediaan bagi memenuhi kriteria keanggotaan.  

Ketua-ketua Negara ASEAN turut mengesahkan sokongan kepada Timor-Leste untuk mencapai matlamat keanggotaan penuh melalui bantuan peningkatan kapasiti dan sokongan lain yang relevan.  

Pada Disember lalu, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Timor-Leste untuk menjadi anggota tetap ASEAN.  

Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão, Anwar berkata bahawa Malaysia bersedia menyambut Timor-Leste sebagai anggota tetap ketika Malaysia selaku pengerusi ASEAN.

Malaysia secara rasmi mengambil alih Pengerusi ASEAN 2025 pada 1 Jan, dengan lebih 300 mesyuarat dan program utama dijadual berlangsung di seluruh negara sepanjang tahun ini.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan