DUNIA > BERITA

APEC 2025 Seiring Dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia Untuk Hubungan Serantau Lebih Kukuh

20/01/2025 12:26 PM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Penganjuran APEC 2025 oleh Korea Selatan akan bertepatan dengan peranan yang digalas oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, memberikan peluang kepada kedua-dua negara untuk memacu kerjasama yang lebih mendalam dan kemakmuran bersama di rantau Asia Pasifik.

Timbalan Menteri Luar Korea Selatan Chung Byung Won berkata penyelarasan peranan kepimpinan utama ini menyediakan platform untuk menangani cabaran bersama dan memperkukuh integrasi serantau.

“Malaysia dan Korea Selatan, sebagai pengerusi dua platform kerjasama utama, mempunyai peluang unik untuk bekerjasama rapat dalam memajukan keamanan dan kemakmuran serantau,” kata Chung kepada Bernama dalam wawancara eksklusif bertulis baru-baru ini.

Dengan tema “Membina Masa Depan Mampan”, Korea Selatan selaku Pengerusi APEC akan memberi tumpuan kepada membangunkan komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang 2040.

Keutamaan utama termasuk memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan, menerima inovasi dan pendigitalan serta menangani cabaran global seperti perubahan iklim, keselamatan makanan dan anjakan demografi.

Mengulas lanjut, Chung menekankan bahawa matlamat ini dirancang untuk memastikan keterangkuman, memperkasa kumpulan rentan seperti PKS, wanita dan golongan kurang upaya.

“Dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia yang sejajar dengan kepimpinan APEC oleh Korea Selatan, kami berharap dapat bekerjasama dalam mengatasi cabaran bersama dan mencipta masa depan yang lebih cerah untuk rantau ini,” katanya.

Korea Selatan akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak APEC pada November tahun ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Hwabaek di Gyeongju.

Ini merupakan kali kedua Korea Selatan menjadi tuan rumah sidang kemuncak itu, selepas kali pertama pada 2005.

Malaysia telah menjadi ahli aktif APEC sejak penubuhannya pada 6-7 Nov 1989 dan pernah menjadi tuan rumah sidang kemuncak tersebut pada 1998 dan 2020.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan