DUNIA > BERITA

Trump Kata "Pencerobohan Sempadan Kita" Akan Berakhir Sebelum Isnin

20/01/2025 01:06 PM

WASHINGTON, 20 Jan (Bernama-dpa) -- Menjelang upacara angkat sumpahnya, Presiden terpilih Amerika Syarikat Donald Trump memberitahu penyokong bahawa beliau akan melaksanakan langkah kawalan imigresen pada hari pertama penggal keduanya memegang jawatan, lapor agensi berita Jerman (dpa).

“Menjelang matahari terbenam esok, pencerobohan sempadan kita akan berakhir dan semua penceroboh tanpa izin di sempadan melalui pelbagai cara akan dihantar pulang,” kata pemimpin Republikan itu dalam satu perhimpunan di Washington.

Seperti semasa kempen pilihan rayanya, Trump menggunakan generalisasi luas dan menggambarkan pendatang tanpa dokumen yang tinggal di AS sebagai penjenayah.

Walaupun terdapat peningkatan jenayah di beberapa kawasan di AS, pakar menyatakan bahawa ia disebabkan faktor sosiopolitik yang kompleks. Tiada bukti mengenai gelombang jenayah yang didorong oleh pendatang, mahupun pendatang melakukan jenayah pada kadar lebih tinggi berbanding warga AS.

Satu daripada janji utama kempen Trump ialah untuk melaksanakan pengusiran besar-besaran. Bagi melaksanakan rancangan ini, Trump telah melantik beberapa individu berhaluan kanan untuk menyertai pentadbirannya.

Menurut media AS, serbuan pertama dijangka bermula sejurus selepas upacara angkat sumpahnya pada Isnin. Serbuan ini pada peringkat awal dirancang di Chicago dan mungkin akan diperluaskan ke bandar lain. Operasi ini dijadualkan berlangsung selama seminggu.

-- BERNAMA-dpa


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan