DUNIA > BERITA

Wabak Selesema Burung: Filipina Larang Import Unggas Dari South Dakota, AS

23/01/2025 09:31 PM

MANILA, 23 Jan (Bernama-Xinhua) -- Filipina mengenakan larangan sementara terhadap import burung dan produk ayam dari South Dakota, Amerika Syarikat ekoran penularan wabak selesema burung, lapor Xinhua memetik Kementerian Pertanian Filipina pada Khamis.

Dalam satu memorandum bertarikh 22 Jan, Setiausaha Pertanian Filipina Francisco Tiu Laurel, mengarahkan larangan ke atas import burung domestik dan liar serta produk, termasuk daging ayam, anak ayam berumur sehari, telur dan air mani untuk inseminasi buatan dari South Dakota.

Menurut memo tersebut, South Dakota melaporkan pada 17 Dis tahun lalu "beberapa wabak" selesema burung H5N1 yang sangat patogenik.

Sebagai langkah kecemasan, Laurel mengeluarkan memo yang mengarahkan Biro Industri Haiwan untuk menggantung pemprosesan dan pengeluaran kelulusan import melibatkan aspek kebersihan dan fitosanitari untuk import burung domestik dan liar dari South Dakota.

Memo itu menambah, "Semua penghantaran yang datang dari South Dakota yang sedang dalam transit, dimuatkan atau diterima di pelabuhan sebelum komunikasi rasmi perintah ini akan dibenarkan, dengan syarat produk tersebut disembelih atau dihasilkan pada atau sebelum 23 Nov 2024."

Selsema burung merebak dalam kalangan burung liar akuatik di seluruh dunia dan boleh menjangkiti ayam domestik serta spesies burung dan haiwan lain.

-- BERNAMA-XINHUA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan