SINGAPURA, 24 Jan (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) melonggarkan dasar monetarinya pada Jumaat, langkah pertama seumpamanya sejak Mac 2020.
MAS mengumumkan bahawa ia akan mengurangkan sedikit kecerunan jalur dasar kadar pertukaran nominal efektif dolar Singapura (S$NEER) tanpa mengubah lebar jalur dasar atau tahap pusatnya.
"Pelarasan berhemah ini konsisten dengan laluan pengukuhan sederhana dan beransur-ansur bagi jalur dasar S$NEER untuk memastikan kestabilan harga jangka sederhana," menurut kenyataan dasar monetari MAS.
Bank pusat dan pengawal selia kewangan itu turut menyatakan ia akan memantau dengan teliti perkembangan ekonomi global dan domestik serta kekal berwaspada terhadap risiko kepada inflasi dan pertumbuhan.
MAS berkata momentum pertumbuhan Singapura dijangka perlahan tahun ini selepas mencatat prestasi memberangsangkan pada separuh kedua 2024 (H2 2024), dengan tahap output dijangka hampir mencapai potensi ekonomi negara itu secara keseluruhan bagi 2025.
Sementara itu, MAS memaklumkan inflasi teras tidak termasuk penginapan dan pengangkutan persendirian, telah menurun lebih cepat daripada yang dijangkakan dan akan kekal di bawah dua peratus tahun ini, mencerminkan tekanan harga asas yang kembali rendah dan stabil dalam ekonomi.
MAS meramalkan purata inflasi teras akan berlegar antara satu hingga dua peratus pada 2025, lebih rendah daripada unjuran 1.5 hingga 2.5 peratus pada Oktober 2024.
Dalam pada itu, purata inflasi Indeks Harga Pengguna (CPI) Semua Barangan diunjurkan antara 1.5 hingga 2.5 peratus tahun ini, berbanding 2.4 peratus pada 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial