ISTANBUL, 2 Feb (Bernama-AA) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menandatangani perintah eksekutif pada Sabtu yang mengenakan tarif ke atas import dari Mexico, Kanada dan China bagi menangani krisis fentanyl, menurut Rumah Putih, lapor Agensi Anadolu (AA).
Menurut Rumah Putih, langkah itu termasuk tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan dari Mexico dan Kanada serta tarif tambahan 10 peratus ke atas import dari China sehingga negara-negara berkenaan “bekerjasama sepenuhnya” dengan AS dalam usaha membanteras pengedaran dadah.
Kadar baharu itu akan berkuat kuasa pada 4 Feb, menurut perintah berkenaan.
“Presiden Donald Trump sedang mengambil tindakan tegas untuk melindungi rakyat Amerika daripada krisis fentanyl. Fentanyl merupakan punca utama kematian bagi rakyat Amerika berusia 18 hingga 45 tahun,” menurut Rumah Putih dalam satu kenyataan.
AS menuduh kartel Mexico sebagai “penyeludup utama” bagi fentanyl dan dadah lain di dunia serta mendakwa wujud pakatan antara kartel dan kerajaan Mexico.
Mengenai Kanada, Rumah Putih menekankan pengeluaran fentanyl yang semakin meningkat dan kemasukan secara haram di sempadan, dengan menyatakan, “Sejumlah fentanyl yang cukup untuk membunuh 9.8 juta rakyat Amerika telah dirampas di sempadan utara pada tahun fiskal lepas.”
Selain tarif 25 peratus, AS turut mengenakan tarif 10 peratus ke atas sumber tenaga dari Kanada, menurut Rumah Putih.
China pula dikritik kerana dakwaan peranannya dalam mensubsidi syarikat kimia bagi mengeksport fentanyl, dengan Rumah Putih mendakwa, “China bukan sahaja gagal membendung sumber dadah terlarang tetapi secara aktif membantu perniagaan ini.”
AS menggesa negara yang terlibat agar tidak bertindak balas.
Sekiranya mereka bertindak balas terhadap langkah itu, “Presiden boleh meningkatkan atau memperluas skop duti yang dikenakan di bawah perintah ini bagi memastikan keberkesanan tindakan ini,” menurut kenyataan Rumah Putih.
Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau sebelum ini memberi amaran bahawa kerajaannya sedang menyediakan tindak balas yang tegas dan bersatu sekiranya AS mengenakan tarif ke atas barangan dari negaranya serta menegaskan bahawa Kanada bersedia “untuk sebarang kemungkinan senario yang bakal berlaku.”
Presiden Mexico Claudia Sheinbaum pula menyatakan bahawa negaranya mempunyai beberapa langkah yang telah disediakan bagi menghadapi sebarang keputusan Trump untuk mengenakan tarif baharu.
Sementara itu, Rumah Putih menyatakan bahawa pengecualian cukai di bawah nilai "de minimis" (minimum) tidak akan terpakai bagi langkah baharu itu.
Pengecualian Cukai "De Minimis" membolehkan penghantaran bernilai di bawah US$800 yang ditujukan kepada perniagaan dan pengguna Amerika memasuki AS tanpa dikenakan duti dan cukai.
-- BERNAMA-AA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial