TAIPEI, 3 Feb (Bernama-CNA) -- Pelakon terkenal Taiwan, Barbie Hsu meninggal dunia akibat pneumonia pada usia 48 tahun ketika bercuti di Jepun, apabila beliau dijangkiti influenza semasa cuti Tahun Baharu Lunar, lapor Central News Agency (CNA).
Kematian Hsu disahkan oleh adiknya, Dee Hsu menerusi ejennya pada Isnin.
"Seluruh keluarga kami datang ke Jepun untuk bercuti, dan kakak saya yang tersayang serta baik hati, Barbie Hsu, telah meninggal dunia akibat pneumonia berpunca daripada influenza dan malangnya telah meninggalkan kami," kata Dee Hsu, yang juga pengacara rancangan bual bicara.
"Saya bersyukur kerana dapat menjadi adiknya dalam kehidupan ini dan dapat saling menjaga serta meluangkan masa bersama. Saya akan sentiasa menghargai dan merinduinya!"
Tarikh sebenar kematian beliau masih belum disahkan.
Khabar angin mengenai pemergian Hsu mula tersebar pada Ahad selepas sebuah laman Facebook mengenai perjalanan dan makanan di Jepun memuat naik hantaran berbunyi: "Seorang bintang besar dari Taiwan telah meninggal dunia. Kenyataan rasmi akan menyusul. Berusia 48 tahun dan dijangkiti selesema di Jepun."
Hsu meninggalkan suaminya, penyanyi dan DJ Korea Selatan Koo Jun-yup, serta seorang anak perempuan berusia 10 tahun dan anak lelaki berusia lapan tahun hasil perkahwinan terdahulu dengan ahli perniagaan China, Wang Xiaofei.
Dalam satu temu bual sebelum ini, Hsu pernah mendedahkan bahawa beliau mempunyai sejarah prolaps injap mitral dan epilepsi, selain hampir meninggal dunia akibat sawan ketika melahirkan anak lelakinya.
Hsu memulakan kerjayanya pada 1994 sebagai penyanyi bersama adiknya, Dee, di bawah nama S.O.S. yang kemudian ditukar kepada ASOS atas sebab kontrak. Mereka meraih kejayaan menerusi lagu "Ten Minutes of Love" dan menghasilkan album kelapan serta terakhir, "Perverted Girls", pada 2001.
Hsu mula mengacarakan program televisyen pada 1995 sebelum beralih ke bidang lakonan pada 1998. Namanya melonjak sebagai pelakon pada 2001 selepas membintangi drama popular Taiwan "Meteor Garden" sebagai Shan Cai.
Drama itu, yang turut menampilkan kumpulan lelaki F4, melayakkan beliau dicalonkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik dalam Siri TV di Anugerah Golden Bell dan diiktiraf sebagai antara drama Taiwan yang paling berpengaruh dalam era 2000-an.
Sepanjang karier lakonannya, Hsu membintangi sekurang-kurangnya 11 siri TV, termasuk "Corner with Love" dan "Summer's Desire", serta muncul dalam 13 filem, antaranya "Silk", bersama Chang Chen dan Yosuke Eguchi, serta "Connected".
Di luar dunia hiburan, Hsu merupakan seorang selebriti terkenal di Asia. Beliau berkahwin dengan usahawan China Wang Xiaofei pada 2010 dan dikurniakan seorang anak perempuan pada 2014 serta seorang anak lelaki pada 2016 sebelum bercerai pada 2021.
Pada 2022, beliau mengejutkan peminat apabila mengumumkan perkahwinannya dengan Koo Jun-yup, yang pernah menjadi teman lelakinya pada akhir 1990-an sebelum mereka berpisah atas nasihat pihak pengurusan.
Sabtu ini sepatutnya menandakan ulang tahun perkahwinan ketiga mereka.
-- BERNAMA-CNA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial