DUNIA > BERITA

JS-SEZ Akan Tingkatkan Kelebihan Daya Saing Singapura

05/02/2025 04:51 PM

SINGAPURA, 5 Feb (Bernama) -- Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan memberikan kelebihan daya saing tambahan untuk Singapura dan syarikat-syarikatnya menghadapi landskap ekonomi global yang tidak menentu dan dinamik, menurut Parlimen republik itu pada Rabu.

Menteri Negara bagi Perdagangan dan Perusahaan Alvin Tan berkata perniagaan Singapura boleh membina kekuatan mereka seperti pemikiran yang inovatif dan pembangunan penyelidikan serta mengatasi kekurangan tanah, tenaga kerja dan sumber asli mereka dengan JS-SEZ.

“Persaingan global seperti yang kita lihat sejak beberapa minggu kebelakangan ini, semakin meningkat untuk bakat, perdagangan dan pelaburan. Oleh itu, adalah penting jika Singapura mahu kekal berdaya saing, kita perlu lebih tangkas dan inovatif.

"Jika dilaksanakan dengan baik, JS-SEZ akan memberikan kita kelebihan daya saing tambahan," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat di Parlimen hari ini.

Tan berkata perniagaan merentas sektor, termasuk pembuatan, logistik dan ekonomi digital, boleh mendapat manfaat daripada aliran rentas sempadan yang lebih baik bagi barangan dan orang, serta kemudahan menjalankan perniagaan di JS-SEZ.

Beliau berkata banyak syarikat yang berpangkalan di Singapura sudah mempunyai operasi berkembar di Singapura dan Johor, seperti SPC Group dari Korea Selatan, syarikat induk bagi rangkaian kafe roti Paris Baguette.

Syarikat itu mengendalikan ibu pejabat serantau dan pusat inovasinya di Singapura manakala pangkalan pengeluaran serantaunya pula di Johor.

Beliau seterusnya berkata Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) akan mengetuai misi perniagaan yang terdiri daripada lebih 100 firma Singapura ke JS-SEZ akhir bulan ini, sebagai menunjukkan minat untuk  pelaburan yang besar di sana.

Tan berkata Singapura akan terus menyokong syarikat-syarikat perniagaan republik itu yang layak untuk JS-SEZ melalui skim sokongan perusahaan sedia ada seperti geran Bantuan Kesediaan Pasaran (MRA) dan Skim Pembiayaan Perusahaan.

Geran MRA membantu syarikat berkembang ke pasaran baharu di luar negara dengan membiayai kos promosi pasaran luar negara, pembangunan perniagaan dan penubuhan.

Bulan lepas, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian mengenai JS-SEZ di luar acara Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11 di Putrajaya.

JS-SEZ merangkumi kawasan pembangunan Iskandar, Forest City, Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), dan Desaru dengan keluasan tanah 357,128 hektar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan