DUNIA > BERITA

UNAM Kecam Dasar Pentadbiran Trump Terhadap Palestin

12/02/2025 05:01 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia (UNAM) mengutuk sekeras-kerasnya pengumuman dasar pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump baru-baru ini yang disifatkan sebagai cubaan untuk menjejaskan kedaulatan Palestin dan mencabuli undang-undang antarabangsa. 

Presidennya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata dasar itu, termasuk cadangan untuk memindahkan rakyat Palestin dari tanah air mereka adalah “jahat, tidak berasas dan sangat provokatif.” 

“Ia mencadangkan pembersihan etnik dan bertentangan dengan usaha mapan dan konsisten masyarakat antarabangsa, termasuk pentadbiran AS sebelum ini dalam memelihara dan memperjuangkan hak rakyat Palestin menerusi penyelesaian dua negara yang adil, mampan dan saksama,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. 

Mustapa menegaskan bahawa hak asasi rakyat Palestin ke atas tanah air mereka tidak boleh digugat dengan cadangan yang sewenang-wenangnya, tidak bermoral dan tidak adil.

Sehubungan itu, UNAM menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) untuk bersatu mengutuk dan mengecam tindakan ini yang bertujuan merampas tanah air rakyat Palestin secara tidak sah. 

UNAM turut mendesak pemimpin dunia agar mengambil langkah muktamad untuk melaksanakan Resolusi 242 Majlis Keselamatan PBB, yang diterima pakai pada 22 Nov 1967 dan menyeru pengunduran Israel dari wilayah yang didudukinya serta pengiktirafan hak rakyat Palestin, menurut kenyataan itu.

“Tidak boleh ada sebarang kompromi atau penyimpangan daripada resolusi penting ini,” tegas Mustapa. 

Awal bulan ini, Trump mencadangkan pelan untuk memindahkan kira-kira dua juta rakyat Palestin dari Gaza ke negara jiran seperti Mesir dan Jordan. 

Cadangan itu turut merangkumi rancangan untuk menjadikan Gaza sebagai “Riviera of the Middle East” di bawah seliaan AS, bertujuan membangunkan semula kawasan itu sebagai hab pelancongan, pertanian dan teknologi. 

Pelan itu mendapat kecaman antarabangsa yang meluas, dengan banyak pihak menyifatkannya sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa dan satu bentuk pembersihan etnik. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan