DUNIA > BERITA

Kazakhstan Perkenal "Neo Nomad Visa" Bagi Pekerja Digital, Malaysia Antara Penerima Manfaat

12/02/2025 11:24 PM

ASTANA (Kazakhstan), 12 Feb (Bernama-Kazinform) -- Malaysia adalah antara 48 negara yang akan mendapat manfaat daripada pilihan visa Kazakhstan yang baru diperkenalkan, bertujuan menarik profesional berkemahiran, usahawan dan pekerja jarak jauh ke negara Asia Tengah itu, lapor Agensi Berita Kazinform.

Bermula 18 Nov 2024, Kazakhstan memperkenalkan jenis visa baharu untuk nomad digital iaitu Visa Neo Nomad. Visa ini disediakan khas kepada warga asing yang bekerja dari jarak jauh dan menggabungkan kerja dengan perjalanan.

Dengan Malaysia yang diklasifikasikan sebagai negara maju dari segi ekonomi dan politik yang stabil, rakyatnya dikecualikan daripada keperluan surat jemputan semasa memohon Visa Neo Nomad Kazakhstan (B12-1).

Pemohon mesti menunjukkan kestabilan kewangan dan mengemukakan penyata bank untuk enam bulan terakhir yang mengesahkan pendapatan bulanan lebih US$3,000 untuk kelayakan.

Mereka juga diwajibkan mengemukakan sijil rekod jenayah daripada pihak berkuasa yang sesuai di negara asal mereka atau tempat kediaman mereka, sebagai tambahan kepada penyata cukai yang dikeluarkan oleh negara asal.

Antara syarat lain ialah insurans perubatan komprehensif yang meliputi tempoh visa.

Surat jemputan syarikat pelancongan Kazakhastan adalah wajib bagi ramai pemohon; namun, rakyat 48 negara, termasuk Amerika Syarikat, Jerman dan Australia, dikecualikan daripada keperluan ini.

Prosedur permohonan sangat cekap, dengan tempoh pemprosesan tidak lebih daripada lima hari bekerja.

Calon mesti menghantar dokumen mereka ke konsulat atau kedutaan Kazakhstan yang terdekat dengan alamat mereka. Visa Neo Nomad juga menawarkan cara bagi keluarga untuk merasai pengalaman berada di Kazakhstan bersama-sama dengan melanjutkan kelayakan kepada ahli keluarga pemohon utama.

Setelah diluluskan, visa menjamin status pengecualian cukai di bawah Kanun Cukai Kazakhstan dan tinggal secara sah di negara itu.

Walaupun ia tidak membenarkan pekerjaan tempatan, visa itu menawarkan peluang unik bagi pekerja jarak jauh untuk meneruskan aktiviti profesional mereka sambil menikmati bandar raya dinamik Kazakhstan, pemandangan yang menakjubkan dan warisan budaya yang kaya.

Menurut agensi berita itu, ia adalah pilihan yang baik untuk nomad digital kerana ia membolehkan pemohon tinggal di Kazakhstan maksimum selama setahun dengan kemungkinan pembaharuan.

-- BERNAMA-KAZINFORM


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan