DUNIA > BERITA

Indonesia Keluar Amaran Tahap Tertinggi Bagi Gunung Lewotobi Laki-laki  

13/02/2025 06:52 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 13 Feb (Bernama) -- Tahap aktiviti gunung berapi Gunung Lewotobi Laki-laki di Nusa Tenggara Timur dinaikkan ke tahap IV, iaitu tahap amaran tertinggi pada 3 pagi waktu tempatan Khamis.

Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) dalam kenyataannya menggesa orang ramai serta pihak berkuasa agar tidak melakukan sebarang aktiviti dalam radius enam kilometer dari pusat gempa.

Penduduk juga dinasihatkan mengelakkan kawasan barat daya hingga timur laut dalam lingkungan tujuh kilometer.

“Selain ancaman letusan, aliran lahar serta kemungkinan berlakunya tanah runtuh akibat hujan perlu diberi perhatian, terutama bagi penduduk di kawasan tadahan sungai berhampiran puncak gunung,” kata jurucakap BNPB, Abdul Muhari.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan tempatan terus menyelaras usaha bersama Pos pemantauan gunung berapi di Kampung Pululera serta Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) bagi memastikan langkah mitigasi dilaksanakan dengan berkesan.

Kerajaan tempatan Flores Timur turut menggesa penduduk yang telah kembali ke enam kampung dalam zon berisiko tinggi agar segera berpindah semula ke pusat perlindungan yang ditetapkan atau mencari tempat selamat.

Peningkatan status amaran ini seiring dengan aktiviti seismik yang semakin ketara sejak 5 hingga 13 Feb.

Gegaran gunung berapi juga meningkat secara mendadak sejak malam Selasa dan berterusan sehingga tengah malam Khamis, dengan aktiviti seismik masih berlangsung.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan