DUNIA > BERITA

Malaysia Sokong Aspirasi ASEAN Turkiye, Sedia Perkukuh Hubungan Serantau

14/02/2025 04:55 PM

 

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Malaysia menyambut baik inisiatif Turkiye untuk mengukuhkan hubungan dengan Asia Tenggara, khususnya menerusi aspirasinya untuk menjadi rakan dialog ASEAN, menurut Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal.

Dalam satu temu bual menerusi program Bernama TV, The Nation yang dirakam pada Rabu, Sazali memuji hubungan Malaysia-Turkiye, dengan menekankan kemajuan hasil daripada pertemuan peringkat tinggi.

“Hubungan antara kedua-dua negara kita berada pada tahap yang sangat baik. Kami telah melihat banyak perkembangan dan persefahaman antara pemimpin dan kerajaan kita,” katanya dalam temu bual itu.

Beliau mengulangi sokongan Malaysia terhadap usaha Turkiye untuk memperdalam penglibatan dengan ASEAN.

“Turkiye telah lama berhasrat untuk menjadi rakan dialog ASEAN. Mereka telah melibatkan negara-negara ASEAN melalui pelbagai aktiviti dan menubuhkan kedutaan di semua negara anggota sejak menjadi rakan dialog sektoral pada 2017,” katanya.

Sazali turut menekankan kemajuan teknologi Turkiye, merujuk lawatannya ke Turkish Aerospace Industries, di mana beliau menyaksikan pembangunan KAAN, jet pejuang stealth generasi kelima terbaharu negara itu.

“Turkiye telah mencapai kemajuan besar dalam bidang teknologi. Kemajuan mereka bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor pertahanan, tetapi juga sektor perindustrian yang lebih luas.”

Beliau menyatakan bahawa Turkiye membelanjakan kira-kira US$12 bilion bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) pada 2023, meningkat kepada US$15 bilion pada 2024.

“Pelaburan yang disalurkan kepada universiti, industri dan inovator itu adalah sesuatu yang boleh dicontohi Malaysia untuk meningkatkan R&Dnya,” katanya.

Mengenai kerjasama perniagaan, Sazali mengenal pasti faktor geografi dan bahasa sebagai cabaran utama, dengan menyatakan pendekatan  berhati-hati syarikat Malaysia kerana kebergantungan kepada bahasa Inggeris.

Beliau menggalakkan perkongsian dengan syarikat Turkiye, yang telah menunjukkan minat untuk menjalin usaha sama bagi menembusi pasaran di Afrika dan Timur Tengah.

Beliau turut menggesa sektor swasta Malaysia untuk meneroka pakatan strategik dengan syarikat Turkiye bagi memupuk inovasi dan mengakses pasaran antarabangsa.

Mengenai isu Palestin, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap pendirian bersama Malaysia dan Turkiye, yang menyokong penyelesaian dua negara dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara serta kembali kepada sempadan 1967.

Beliau memuji sokongan Turkiye, termasuk penghantaran lebih 800,000 tan bantuan kepada rakyat Palestin.

Sementara itu, Sazali turut menyentuh hubungan erat antara rakyat Malaysia dan Turkiye, yang didorong oleh persamaan budaya, perniagaan dan pelancongan.

“Rakyat Malaysia mempunyai pandangan yang sangat positif terhadap Turkiye, mengambil kira sejarahnya yang kaya serta hubungan yang mendalam dengan dunia Islam,” katanya.

Beliau menekankan bahawa lebih 90,000 rakyat Malaysia melawat Turkiye setiap tahun, dengan kira-kira 21,000 wargaTurkiye melawat Malaysia sehingga Disember tahun lepas.

Mengenai usaha memperkukuh perkongsian, beliau berkata, “Perkongsian yang kita lihat hari ini adalah perkongsian strategik komprehensif, di mana kita saling melengkapi dalam pelbagai bidang.”

Beliau turut menyatakan harapan agar kerjasama lebih erat dalam membangunkan teknologi serta memupuk pertukaran pelajar bagi menggalakkan pemahaman budaya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan