DUNIA > BERITA

Peranan Aktif Bernama Dalam OANA Perkukuh Profil Global, Luaskan Perkongsian Media

16/02/2025 01:15 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) – Peranan aktif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam Pertubuhan Agensi-Agensi Berita Asia-Pasifik (OANA) telah menjadi pemangkin dalam meningkatkan profil agensi itu di peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata Bernama telah berkhidmat secara aktif dalam Lembaga Eksekutif OANA selama lebih 20 tahun bersama 13 agensi berita lain.

“Platform OANA telah memperkukuh profil antarabangsa Bernama, sekali gus menarik perhatian agensi berita luar untuk menjalinkan kerjasama,” katanya ketika ditemui Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama (PBA) di pejabatnya, di sini.

Baru-baru ini, Bernama memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Prensa Latina dari Cuba dan Anadolu Ajansi dari Turkiye bagi memperkukuh kerjasama media serta memperluas peranan Bernama sebagai pemain utama berita global.

Beliau berkata Bernama juga kini dalam proses memuktamadkan kerjasama dengan agensi berita Montsame dari Mongolia.

Bernama sebelum ini telah menjalinkan kerjasama dengan agensi berita dari Asia, Timur Tengah dan Eurasia, meliputi hampir 70 peratus populasi dunia.

Malaysia, melalui Bernama, akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Lembaga Eksekutif OANA ke-54 (EBM) selama empat hari bermula Ahad (16 Feb).

Mesyuarat tahun ini bertemakan “Kesiagaan Masa Depan Agensi Berita: Memanfaatkan AI dan Teknologi untuk Pertumbuhan Mampan”.

Mengulas mengenai mesyuarat itu, Nur-ul Afida berkata Bernama akan menggunakan peluang ini untuk mempromosikan liputan berita mengenai ASEAN, yang kini dipengerusikan oleh Malaysia.

ASEAN atau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara ditubuhkan bagi menggalakkan kerjasama dan perpaduan dalam kalangan negara di rantau ini.

Pertubuhan serantau itu ditubuhkan pada 1967 di Bangkok, Thailand, tahun yang sama Bernama ditubuhkan sebagai sebuah badan berkanun di bawah Akta Parlimen 1967.

Dalam mesyuarat OANA itu, Nur-ul Afida berkata Bernama akan bekerjasama dengan Huawei bagi menonjolkan peranan kecerdasan buatan (AI) dalam industri media.

“Selain itu, Bernama juga akan membentangkan topik berkaitan berita palsu,” katanya.

Sebagai agensi berita nasional Malaysia, Bernama memainkan peranan penting dalam menyediakan berita yang komprehensif, terkini dan boleh dipercayai kepada masyarakat serta pengamal media.

Reputasinya sebagai sumber berita yang dipercayai diiktiraf oleh organisasi media tempatan dan antarabangsa, seiring dengan perubahan landskap media serta kebebasan akhbar.

Organisasi media di Malaysia, Singapura dan pelbagai agensi antarabangsa melanggan perkhidmatan berita Bernama.

Selain menyediakan perkhidmatan berita secara dalam talian, Bernama turut menyalurkan berita menerusi saluran radio dan televisyen serta platform media sosial rasmi.

Bernama juga menghasilkan kandungan berita dalam pelbagai bahasa termasuk Mandarin, Tamil, Sepanyol dan Arab, selain Bahasa Melayu dan Inggeris.

Kali terakhir Bernama menjadi tuan rumah EBM OANA ialah pada 2015 dengan tema “Media Sosial dan Cabaran yang Dihadapi Agensi Berita”.

OANA ditubuhkan pada 1961 atas inisiatif Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi memudahkan pertukaran berita secara langsung dan bebas antara agensi berita di rantau yang merangkumi lebih separuh daripada populasi dunia.

OANA kini mempunyai 41 agensi berita anggota dari 33 negara, dengan 13 agensi menganggotai Lembaga Eksekutifnya.

Mesyuarat EBM OANA diadakan setiap tahun dan kali terakhir dihoskan oleh Rusia.

Mesyuarat ke-54 OANA EBM yang dihoskan Bernama akan menghimpunkan wakil dari 13 agensi berita antarabangsa, iaitu Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA), Agensi Berita Yonhap (Korea Selatan), Azertac (Azerbaijan), TASS (Rusia), Anadolu Ajansi (Turkiye), Xinhua (China), WAM (Emiriah Arab Bersatu), Kyodo News (Jepun), Agensi Berita Qatar, Agensi Berita Vietnam, Montsame (Mongolia), Perusahaan Umum Lembaga Kantor Berita Nasional atau ANTARA (Indonesia) dan Agensi Berita MEHR  (Iran).

Nur-ul Afida dijadual menyampaikan ucapan pada mesyuarat itu pada Isnin, diikuti ucapan pembukaan oleh Setiausaha Agung OANA, Zaman Rezakhani, yang juga Pengarah Perhubungan Antarabangsa di IRNA.

Dua sesi panel akan diadakan membincangkan topik “Evolving Newsroom: Building a Digital-First, Audience-Centric Approach to Stay Ahead” and “Credibility in the Crosshairs: Combating Misinformation and Disinformation.”

Selain itu, satu majlis pertukaran pembaharuan MoU dijangka berlangsung antara ANTARA dan Bernama, diikuti pertukaran MoU antara Kyodo News dan Bernama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan