Oleh Nabilah Saleh
KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Malaysia bersedia untuk memperhebat libat urus awam dan usaha jangkauan media bagi Kepengerusian ASEAN 2025, memastikan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa memahami peranan serta manfaat blok serantau itu.
Setiausaha Bahagian, Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam Kementerian Luar Negeri Zamshari Shaharan mengakui bahawa menjadikan ASEAN lebih dekat kepada masyarakat kekal sebagai satu cabaran, kerana masih ramai yang mempersoalkan bagaimana ia memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.
“Banyak persoalan timbul – apakah itu ASEAN? Bagaimana ia memberi manfaat kepada rakyat Malaysia? Kita perlu memudahkan mesej kita dan menggunakan bahasa yang jelas supaya orang ramai memahami bahawa tanpa ASEAN, kita mungkin tidak menikmati kestabilan serantau seperti hari ini,” katanya dalam program “The Nation: Diplomatic Dispatch” baru-baru ini.
Malaysia sedang bersiap sedia untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei, namun Zamshari menekankan bahawa ASEAN 2025 bukan sekadar satu acara, sebaliknya penglibatan sepanjang tahun.
“Ia seperti berlari maraton – anda memerlukan usaha berterusan sepanjang tahun bagi memastikan mesej itu sampai ke semua lapisan masyarakat,” tambahnya.
Bagi meningkatkan keterlihatan ASEAN, kerajaan bekerjasama rapat dengan rakan media strategik, termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), serta memperluas kehadirannya di pelbagai platform komunikasi, terutamanya media sosial.
Zamshari, yang sebelum ini merupakan Duta Besar Malaysia ke Qatar turut menyatakan minat yang semakin meningkat daripada media asing dan media kecil yang ingin membuat liputan mengenai ASEAN 2025 serta menggalakkan mereka untuk terlibat dengan Wisma Putra melalui platform rasmi, termasuk laman sesawang “My ASEAN 2025” dan saluran media sosial.
“Kita perlu menggalakkan interaksi media sosial yang lebih aktif. Walaupun e-mel masih menjadi alat komunikasi utama, kita mahu melihat lebih banyak penglibatan melalui platform seperti X, Facebook dan Instagram,” katanya.
Usaha Malaysia untuk ASEAN 2025 tidak akan terhad kepada agensi kerajaan sahaja, tetapi turut melibatkan sektor perniagaan, media dan masyarakat umum bagi memastikan pendekatan seluruh negara dalam menggalakkan kerjasama serantau.
Zamshari menegaskan bahawa Malaysia secara aktif melibatkan sektor swasta untuk membantu menyebarkan mesej ASEAN.
“Kita sering bercakap mengenai pendekatan keseluruhan kerajaan, tetapi kita juga perlu mengiktiraf pendekatan keseluruhan negara. Sektor swasta berminat untuk terlibat, dan kita sedang bekerjasama dengan mereka bagi membantu menyebarkan mesej ASEAN,” katanya.
Beliau menyatakan bahawa Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia yang ditempatkan di bawah Wisma Putra, menerajui usaha penyelarasan komunikasi ASEAN 2025 dan semakin banyak pihak daripada sektor perniagaan serta wartawan asing yang berusaha untuk berhubung bagi memahami peranan mereka dalam mempromosikan blok serantau itu.
Media sosial akan memainkan peranan penting dalam usaha penyebaran maklumat ini.
“Sektor swasta mempunyai rangkaiannya sendiri, dan kita boleh memanfaatkannya untuk mengembangkan keterlihatan ASEAN,” tambahnya.
Beliau juga mengalu-alukan minat belia yang semakin meningkat terhadap ASEAN, terutamanya melalui kandungan budaya di platform media sosial seperti Instagram dan TikTok.
“Sangat bagus mereka meneroka budaya ASEAN. Ini boleh menjadi titik permulaan untuk mereka mempelajari lebih lanjut mengenai tadbir urus, kerjasama ekonomi dan diplomasi di rantau ini,” katanya.
Namun, Zamshari menekankan keperluan untuk mewujudkan naratif yang lebih tersusun bagi memastikan golongan muda dan pempengaruh digital mempunyai akses kepada maklumat yang tepat.
“Mereka bermula dengan budaya, tetapi kita perlu memberikan mereka pemahaman yang lebih mendalam serta jawapan apabila mereka ingin mengetahui lebih lanjut," jelasnya.
Bagi memudahkan akses yang lebih baik kepada kemas kini ASEAN 2025, beliau menggesa rakyat Malaysia dan anggota media antarabangsa untuk mengikuti saluran media sosial Wisma Putra, di mana maklumat rasmi akan dikongsi.
Dengan Malaysia bersedia untuk menjadi tuan rumah lebih 300 mesyuarat berkaitan ASEAN sepanjang 2025, Zamshari menyatakan bahawa kerajaan sedang meningkatkan usaha bagi memastikan kelancaran logistik, pemesejan yang berkesan serta penyelarasan media yang lebih baik.
Bercakap mengenai persiapan Malaysia, Zamshari menyifatkan Permukiman Menteri Luar ASEAN di Langkawi sebagai permulaan yang berjaya kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang lebih besar pada Mei ini.
“Lebih 100 wartawan antarabangsa membuat liputan acara itu, dan kami menjangkakan kehadiran media yang lebih besar di Kuala Lumpur,” katanya.
Mengulas kebimbangan mengenai pengurusan kemasukan media antarabangsa dalam jumlah yang besar, Zamshari mengakui skala persiapan yang diperlukan namun menyatakan keyakinan terhadap kesediaan Malaysia.
“Acara yang lebih besar bermakna cabaran yang lebih besar, tetapi kami bersedia. Kami memperluas kerjasama kami melangkaui agensi kerajaan untuk memasukkan penyertaan sektor swasta, terima kasih kepada Bernama dan rakan kongsi strategik kami, termasuk Radio Televisyen Malaysia,” katanya.
Dalam aspek penyampaian mesej, beliau menekankan keperluan untuk mengekalkan kejelasan dan keterlihatan melalui media tradisional, platform digital serta media sosial.
“Kita tidak seharusnya bergantung pada pencapaian masa lalu. Melangkah ke hadapan, kita perlu terus memperhalusi penyampaian mesej bagi memastikan ASEAN kekal relevan mendapat penglibatan yang meluas,” katanya.
Bernama telah menyediakan laman mikro yang memaparkan berita berkaitan ASEAN sejak 1 Sept 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial