DUNIA > BERITA

Lawatan Bersejarah PM Anwar Ke Bahrain Buka Laluan Kerjasama Lebih Erat - Duta Bahrain

20/02/2025 02:04 PM

Daripada Noor Bakhtiar Ahmad

MANAMA (Bahrain), 20 Feb (Bernama) -- Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Bahrain menandakan pengukuhan hubungan diplomatik dan ekonomi antara kedua-dua negara ketika meraikan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala.

Duta Besar Bahrain ke Malaysia, Dr Waleed Khalifa Al Manea, memuji hubungan kukuh antara Bahrain dan Malaysia serta menekankan kepentingan lawatan rasmi sulung Perdana Menteri Malaysia itu.

Beliau menegaskan bahawa lawatan tersebut mencerminkan hubungan persaudaraan dan persahabatan yang erat antara kedua-dua negara.

"Lawatan ini mempunyai kepentingan sejarah yang besar kerana ia mencerminkan hubungan mendalam antara Bahrain dan Malaysia, yang kini telah mencapai tahun ke-50 sejak terjalinnya hubungan diplomatik," katanya kepada Bernama pada Khamis.

Al Manea turut menekankan kemajuan berterusan dalam pelbagai bidang politik, ekonomi, kebudayaan dan sosial di bawah kepimpinan bijaksana Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa, serta Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Beliau menambah bahawa lawatan itu merupakan peristiwa bersejarah yang menyaksikan Bahrain dan Malaysia mengukuhkan lagi komitmen mereka dalam mempereratkan kerjasama dan perkongsian politik serta ekonomi.

"Kedua-dua negara menyatakan komitmen mereka untuk meningkatkan hubungan ini ke tahap yang lebih luas dan komprehensif, memastikan kemakmuran bagi negara dan rakyat masing-masing, serta memperkukuh peranan penting mereka dalam mempromosikan keselamatan, keamanan dan pembangunan mampan di peringkat serantau dan antarabangsa," katanya.

Duta Besar Bahrain ke Malaysia itu turut menegaskan bahawa perbincangan yang diadakan Perdana Menteri Malaysia bertujuan memperdalam kerjasama antara kedua-dua negara sambil meneroka peluang baharu bagi memperluaskan perkongsian, meningkatkan inovasi dan menangani cabaran global yang semakin berkembang.

"Kedua-dua negara kekal komited untuk membina masa depan yang lebih makmur, menyumbang kepada kestabilan dan pembangunan negara masing-masing serta menantikan lebih banyak tahun kerjasama yang erat dan berkesan," katanya.

Anwar tiba awal pagi Rabu untuk lawatan rasmi pertamanya ke negara Teluk itu sebagai Perdana Menteri, atas jemputan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Salman Hamad Al Khalifa.

Bahrain, negara Teluk pertama yang menemukan minyak pada 1932, merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di Asia Barat tahun lalu, manakala Malaysia menduduki tempat ketiga sebagai rakan dagang terbesar Bahrain dalam kalangan negara ASEAN dan ke-18 di peringkat global pada 2023.

Selain minyak, Bahrain juga menempatkan kilang pemprosesan aluminium keempat terbesar di dunia, yang merupakan antara eksport utama ke Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan