DUNIA > BERITA

Indonesia Perkenal Pelan Kerja Fleksibel Atasi Kesesakan Sempena Aidilfitri Dan Nyepi

02/03/2025 05:54 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 2 Mac (Bernama) -- Dengan jutaan rakyat Indonesia bersiap sedia untuk pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri, kerajaan mengumumkan dasar pelan kerja fleksibel (FWA) bagi membantu mengurangkan kesesakan dalam tempoh perjalanan yang paling sibuk sepanjang tahun.

Inisiatif yang membolehkan pekerja bekerja dari luar pejabat sebelum Aidilfitri itu bertujuan menyuraikan perjalanan secara berperingkat serta mengelakkan kesesakan teruk di lebuh raya, lapangan terbang dan pengangkutan awam, menurut kenyataan Kementerian Penyelaras  Bidang Infrastruktur dan Pembangunan Wilayah.

Menterinya, Agus Harimurti Yudhoyono berkata dasar itu dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Pentadbiran dan Pembaharuan Birokrasi bagi melaksanakan FWA, yang sebelum ini dikenali sebagai ‘bekerja dari mana-mana’, bagi mengagihkan aliran pergerakan dengan lebih sekata dan mengurangkan kesesakan puncak.

“Bermula 24 Mac, seminggu sebelum Aidilfitri, kami menjangkakan FWA akan dilaksanakan bagi membolehkan orang ramai memulakan perjalanan lebih awal dan mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya ketika melawat Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten, baru-baru ini.

Agus berkata cabaran tahun ini lebih besar kerana Aidilfitri berbetulan dengan Nyepi, Hari Senyap masyarakat Hindu di Bali, dan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menyesuaikan cuti sekolah bagi menguruskan peningkatan jumlah pengembara.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk memastikan perjalanan yang lebih lancar dan selesa bagi semua yang menyambut Aidilfitri,” katanya.

Tradisi pulang ke kampung sempena Aidilfitri di Indonesia, dikenali sebagai "mudik", melibatkan puluhan juta orang bergerak ke seluruh negara, sering menyebabkan kesesakan teruk.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan