DUNIA > BERITA

China Umumkan Agenda Penerbangan Angkasa Lepas Bermanusia 2025

04/03/2025 01:47 PM

BEIJING, 4 Mac (Bernama-CMG) -- Pejabat Kejuruteraan Angkasa Lepas Bermanusia China (CMSEO) akan memberi tumpuan kepada dua agenda utama bagi tahun 2025 yang berkait aplikasi dan pembangunan stesen angkasa lepas serta penerokaan bulan bermanusia.

Menurut CMSEO, pada masa ini, Stesen Angkasa Lepas China beroperasi dengan stabil di orbit, manakala pelbagai kerja penyelidikan, pembangunan serta pembinaan bagi projek penerokaan bulan bermanusia untuk fasa pendaratan berjalan dengan lancar seperti yang dijadualkan.

Bagi agenda pertama, dua misi penerbangan bermanusia dan satu penerbangan kapal angkasa kargo untuk bekalan bahan logistik akan dilakukan tahun ini. Kru bagi dua misi penerbangan bermanusia itu telah dipilih dan kini sedang menjalani latihan.

Pada masa ini, lebih 180 item penyelidikan dan aplikasi sains angkasa di orbit yang melibatkan sains hayat angkasa dan penyelidikan manusia, fizik mikrograviti dan teknologi angkasa baharu telah membuahkan hasil inovatif di Stesen Angkasa Lepas China.

CMSEO dan Suruhanjaya Penyelidikan Angkasa dan Atmosfera Atas Pakistan telah menandatangani perjanjian kerjasama di Islamabad, ibu negara Pakistan baru-baru ini untuk membuka lembaran baharu dalam kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang penerbangan angkasa lepas bermanusia.

Mengikut rancangan, pemilihan angkasawan Pakistan akan diselesaikan oleh kedua-dua pihak dalam tempoh kira-kira setahun dan mereka yang terpilih akan menjalani latihan menyeluruh di China.

Selain itu, mengikut rancangan penerbangan Stesen Angkasa Lepas China, angkasawan Pakistan akan menyertai misi jangka pendek bersama  angkasawan China di stesen angkasa itu dalam beberapa tahun akan datang.

Bagi agenda kedua, pelbagai kerja penyelidikan dan pembinaan di peringkat pendaratan di bawah projek penerokaan bulan bermanusia sedang berjalan dengan lancar. China menyasarkan pendaratan angkasawan negara itu di bulan buat kali pertama sebelum 2030.

Pada masa ini, peralatan penerbangan untuk misi pendaratan bulan seperti roket pembawa Long March 10 dan kapal angkasa Mengzhou sedang dalam fasa awal penyelidikan dan pembangunan. Kemudahan dan peralatan ujian di Pusat Pelancaran Wenchang juga telah mula beroperasi.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan