SEOUL, 5 Mac (Bernama-Yonhap) -- Polis Korea Selatan akan mengerahkan semua sumber yang ada bagi mencegah sebarang insiden keganasan pada hari keputusan perbicaraan Presiden Yoon Suk Yeol diumumkan oleh Mahkamah Perlembagaan, lapor Agensi Berita Yonhap.
Pemangku Ketua Agensi Polis Kebangsaan, Lee Ho-young berkata pada Selasa bahawa pasukan tambahan serta langkah kawalan lain termasuk kemungkinan penggunaan belantan boleh laras akan disediakan pada hari kejadian.
“Kami akan mengerahkan semua anggota polis bagi mengelakkan kejadian serupa pada masa lalu daripada berulang dan menghalang pertembungan fizikal antara penyokong dan penentang Yoon,” katanya, merujuk kepada kemungkinan keganasan di Mahkamah Perlembagaan.
Pada Januari lalu, penyokong Yoon menyerbu Mahkamah Daerah Barat Seoul sebagai tanda protes terhadap keputusan mahkamah menahan presiden yang digantung tugas itu.
Sementara itu, polis juga sedang meneliti keperluan mengeluarkan amaran kecemasan tahap tertinggi pada hari keputusan diumumkan, yang membolehkan penglibatan sehingga 100 peratus anggota polis yang ada.
Menurut laporan media, keputusan itu dijangka diumumkan pertengahan Mac ini.
Yoon telah digantung tugas selepas Dewan Negara yang dikuasai pembangkang meluluskan usul pemecatannya pada 14 Dis atas tindakan Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera.
Mahkamah Perlembagaan kini sedang meneliti kes untuk menentukan sama ada Yoon akan dilucutkan jawatan secara rasmi atau dikembalikan ke tampuk kepimpinan.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial