DUNIA > BERITA

Ketua Parti Pemerintah Vietnam To Lam Lawat Indonesia Sempena Ulang Tahun Ke-70 Hubungan Diplomatik

07/03/2025 11:39 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 7 Mac (Bernama) -- Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam (CPV), To Lam akan mengadakan lawatan rasmi pertama ke Indonesia dari 9 hingga 11 Mac, bersempena ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Indonesia, semasa lawatan itu, beliau dijadual bertemu Presiden Prabowo Subianto bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala dan mempertingkatkan hubungan antara Vietnam dan Indonesia.

Beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan Indonesia, termasuk Speaker Majlis Perunding Rakyat (MPR), Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan Dewan Perwakilan Daerah (DPD), serta menghadiri pertemuan perniagaan bersama usahawan dari kedua-dua negara.

Dalam sistem politik Vietnam, jawatan Setiausaha Agung CPV mempunyai kuasa tertinggi, di samping Presiden, Perdana Menteri dan Pengerusi Senat, yang bersama-sama membentuk kepimpinan utama negara itu.

Menurut kenyataan itu hubungan antara Indonesia dan Vietnam terus berkembang pesat sepanjang tujuh dekad, diperkukuh dengan pemeteraian perkongsian strategik pada 2013.

Indonesia dan Vietnam juga berkongsi visi untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2045, tahun yang menandakan ulang tahun ke-100 kemerdekaan masing-masing, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan