DUNIA > BERITA

Kekurangan Pekerja Sepenuh Masa Di Jepun Paling Serius Sejak Covid

09/03/2025 12:27 PM

TOKYO, 9 Mac (Bernama-Kyodo) -- Firma di Jepun kini menghadapi kekurangan pekerja sepenuh masa paling ketara sejak pandemik COVID-19, dengan lebih separuh daripada firma yang disoal selidik melaporkan kekurangan tenaga kerja, menurut satu tinjauan sektor swasta.

Dalam tinjauan yang dijalankan pada Januari terhadap kira-kira 11,000 syarikat, 53.4 peratus menyatakan mereka memerlukan lebih ramai pekerja sepenuh masa, angka tertinggi sejak April 2020 dan hampir kepada rekod tertinggi 53.9 peratus pada November 2018, menurut Teikoku Databank Ltd.

Menurut Kyodo News, sektor yang paling memerlukan pekerja sepenuh masa ialah perkhidmatan maklumat, dengan kekurangan jurutera sistem, diikuti sektor pembinaan.

Tinjauan itu turut mendapati 30.6 peratus syarikat mengalami kekurangan pekerja separuh masa, dengan firma penyedia tenaga kerja mengalami kekurangan paling ketara bagi pekerja bukan tetap, diikuti restoran.

Tinjauan ini dijalankan ketika ahli ekonomi memberi tumpuan kepada sama ada pertumbuhan gaji yang kukuh tahun lalu akan berterusan.

Firma utama Jepun dijangka membuat keputusan mengenai tuntutan kenaikan gaji oleh kesatuan sekerja mereka menjelang akhir bulan ini, sekali gus menamatkan rundingan tahunan "shunto".

Sebanyak 68.1 peratus syarikat yang terjejas akibat kekurangan tenaga kerja merancang untuk menaikkan gaji pekerja sepenuh masa dalam tahun fiskal 2025 bermula April, menurut institut penyelidikan itu, dipercayai bagi memastikan mereka dapat mengekalkan tenaga kerja yang diperlukan.

Bagaimanapun, ahli ekonomi memberi amaran bahawa syarikat kecil dan sederhana akan menghadapi kesukaran untuk bersaing dengan firma besar yang mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk terus meningkatkan gaji pekerja mereka.

"Kita perlu berwaspada terhadap risiko lebih banyak syarikat muflis akibat kekurangan tenaga kerja," menurut firma penyelidikan itu, sambil menekankan bahawa jumlah syarikat muflis akibat masalah tenaga kerja mencecah rekod tertinggi pada 2024.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan