DUNIA > BERITA

Singapura Akan Miliki Lebih Ramai Ahli Parlimen Selepas PRU 2025

11/03/2025 06:31 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 11 Mac (Bernama) -- Singapura akan mempunyai lebih ramai Ahli Parlimen (MP) yang dipilih selepas Pilihan Raya Umum (PRU) tahun ini, berikutan saranan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya.  

Menurut Kertas Putih mengenai laporan jawatankuasa itu yang dikeluarkan pada Selasa, ia telah mengesyorkan penggunaan 33 bahagian pilihan raya (ED) untuk PRU akan datang, dengan sejumlah 97 Ahli Parlimen akan dipilih.  

Ini merupakan peningkatan daripada 31 ED dan 93 Ahli Parlimen pada masa ini.  

Jawatankuasa itu menyatakan bahawa bahagian baharu itu akan terdiri daripada 15 kawasan undi Perwakilan Perseorangan (SMC) dan 18 kawasan undi Perwakilan Berkumpulan (GRC).  

Bilangan pemilih dalam Daftar Sementara Pemilih terkini setakat 1 Feb 2025 ialah 2,753,226 – peningkatan 101,791 pemilih daripada 2,651,435 pemilih pada PRU2020.  

Jawatankuasa itu berkata pihaknya menggunakan parameter PRU2020 sebagai panduan dalam membuat syor, termasuk saiz purata GRC, peratusan Ahli Parlimen yang dipilih daripada SMC serta nisbah purata pemilih kepada Ahli Parlimen yang dipilih.  

Dalam kenyataan berasingan, jawatankuasa itu memaklumkan bahawa pihaknya telah menyerahkan laporannya kepada Perdana Menteri pada 7 Mac.  

“Kerajaan telah menerima syor jawatankuasa dan akan melaksanakannya pada PRU akan datang,” menurut kenyataan itu.  

PRU seterusnya di Singapura mesti diadakan selewat-lewatnya November tahun ini.  

Akhbar The Straits Times (ST) melaporkan bahawa dalam empat pilihan raya yang lalu, tempoh antara pembentukan jawatankuasa sempadan pilihan raya dan Hari Pengundian adalah antara empat hingga 11 bulan. 

-- BERNAMA  



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan