DUNIA > BERITA

China, Perancis Perlu Gabung Tenaga Pelihara Orde Antarabangsa - Xi

23/05/2025 03:04 PM

BEIJING, 23 Mei (Bernama - CMG) -- China dan Perancis perlu bergabung tenaga untuk memelihara orde antarabangsa, memacu pertumbuhan global dan menerajui kerjasama multilateral.

Perkara itu ditekankan Presiden Xi Jinping ketika mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Perancis Emmanuel Macron menerusi panggilan telefon pada Khamis.

Xi berkata tahun ini menandakan ulang tahun ke-80 kemenangan Perang Anti-Fasis Dunia serta penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dan kuasa besar yang bebas, China dan Perancis perlu bersama-sama memelihara kewibawaan dan kedudukan PBB serta peraturan perdagangan antarabangsa dan orde ekonomi dunia, selain mengamalkan multilateralisme jitu.

Kedua-dua negara juga hendaklah memperkasa kerjasama dalam bidang tradisional seperti pelaburan, aeroangkasa dan tenaga nuklear, di samping meneroka kerjasama dalam bidang baharu termasuk ekonomi digital, pembangunan hijau, bioperubatan dan ekonomi perak.

Beliau berkata China menyokong Kesatuan Eropah (EU) memperkukuh kemandirian strategik dan memainkan peranan lebih penting dalam urusan antarabangsa, sambil menzahirkan kesediaan China bersinergi dengan EU untuk merungkai pelbagai cabaran global.

Sementara itu, Macron berkata Perancis berhasrat meningkatkan kerjasama pragmatik dengan China dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, serta komited mengekalkan momentum perkembangan hubungan kedua-dua negara.

Berdepan situasi antarabangsa yang cepat berubah, Perancis bersedia memperkasa komunikasi dan penyelarasan dengan China dalam isu-isu utama serta memikul tanggungjawab sebagai anggota tetap UNSC bagi mencegah kesan limpahan daripada isu-isu panas dan bersinergi memelihara kedamaian dunia.

Beliau turut menyarankan supaya EU dan China merapatkan lagi komunikasi dan dialog untuk menjaga kepentingan bersama.

--BERNAMA-CMG

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan