Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 24 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri China Li Qiang dijadual bertemu Presiden Prabowo Subianto di Istana Merdeka, Jakarta Pusat pada Ahad, selepas tiba di sini pada Sabtu bagi lawatan rasmi tiga hari yang bertujuan mengukuhkan lagi perkongsian strategik komprehensif antara kedua-dua negara.
“Kedua-dua pemimpin akan mengadakan pertemuan empat mata serta mesyuarat dua hala bersama delegasi masing-masing,” kata Timbalan Biro Protokol, Akhbar dan Media Sekretariat Presiden Indonesia (BPMI), Yusuf Permana dalam satu kenyataan.
Mesyuarat itu dijangka diakhiri dengan pemeteraian memorandum persefahaman meliputi bidang kerjasama utama, diikuti kenyataan media bersama yang akan mengetengahkan hasil perbincangan.
Terdahulu, ketibaan Li di Pangkalan Tentera Udara Halim Perdanakusuma disambut oleh Menteri Pelaburan dan Industri Hiliran Rosan Perkasa Roeslani; Duta China ke Indonesia Wang Lutong dan Duta Indonesia ke China Jauhari Oratmangun.
Program rasmi beliau bermula pada petang Sabtu dengan pertemuan bersama pemimpin perniagaan Indonesia dan beliau turut dijadual mengadakan beberapa mesyuarat dalaman bersama delegasinya sepanjang lawatan itu.
“Indonesia dan China telah menjalin hubungan diplomatik selama lebih 70 tahun. Kedua-dua negara berkongsi hubungan ekonomi yang erat, meliputi kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, infrastruktur dan tenaga,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial