JAKARTA 26 Mei (Bernama-CMG) -- China dan Indonesia bersedia meningkatkan penyelarasan dan pelaksanaan strategi pembangunan di negara masing-masing serta menumpukan kepada kerjasama yang berkualiti dan projek ikonik di bawah "Inisiatif Jalur dan Laluan" (BRI).
Sementara itu, kedua-dua pihak perlu meningkatkan kesalinghubungan dalam pasaran dan kerjasama perindustrian, di samping memudahkan pelaburan dan perdagangan, meneroka potensi kerjasama dalam bidang kewangan, sumber tenaga baharu, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), aeroangkasa dan maritim.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri China, Li Qiang dalam pertemuan bersama Presiden Indonesia, Prabowo di Istana Kepresidenan di sini pagi semalam waktu tempatan.
Menurut Li, China bersedia untuk merancakkan pertukaran sosiobudaya dengan Indonesia, memudahkan mobiliti keanggotaan, meningkatkan kerjasama dalam meningkatkan kehidupan rakyat termasuk pembasmian kemiskinan dan kesihatan demi manfaat rakyat kedua-dua negara.
"Amalan unilateralisme dan fahaman perlindungan atau "protectionism" yang semakin berleluasa di arena antarabangsa kini sudah menjejaskan tata tertib ekonomi dan perdagangan antarabangsa secara serius.
"Sehubungan itu, China bersedia bersama-sama negara membangun termasuk Indonesia untuk memartabatkan Lima Prinsip Hidup Berdampingan secara Damai dan Semangat Bandung, memperincikan pelaksanaan tiga Inisiatif Global, mempertahankan amalan multilateralisme dan perdagangan bebas, mendorong pembentukan dunia multipolar yang setara dan teratur serta globalisasi ekonomi yang inklusif bernilaikan universal, melindungi kepentingan milik bersama dan memajukan pembangunan keamanan dan kestabilan serantau dan dunia," kata Li.
Sementara itu, Prabowo menyatakan bahawa tahun ini merupakan ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Indonesia bersedia untuk mengukuhkan perkongsian strategik komprehensif dengan China, mendorong pembinaan bersama komuniti berkongsi nasib Indonesia-China di samping meningkatkan kerjasama dalam bidang pertanian dan ekonomi hijau.
"Saya mengalu-alukan pelaburan syarikat China di Indonesia. Selain itu, Indonesia juga bersedia bersama-sama China untuk melaksanakan kata sepakat tentang penerokaan bersama dalam bidang maritim, dan mendorong rundingan melibatkan "Kod Tata Laku di Laut China Selatan" (COC) yang bertujuan melindungi keamanan dan kestabilan di perairan terbabit.
"Indonesia berharap agar kerjasama dengan China meningkatkan komunikasi dan koordinasi dalam menangani urusan multilateral, tidak berganjak dari mengamalkan multilateralisme, menentang amalan "protectionism" dan melindungi kepentingan bersama milik negara-negara membangun," kata Prabowo.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial