DUNIA > BERITA

Lawatan Raja Charles Ke Kanada Dijangka Singkat Namun Beri 'impak Tinggi'

26/05/2025 05:31 PM

LONDON, 26 Mei (Bernama-PA Media/dpa) -- Raja Charles III dijadual mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Kanada dengan kunjungan singkat selama dua hari namun disifatkan sebagai "berimpak tinggi" bersama Permaisuri Camilla, lapor PA Media/dpa.

Baginda merupakan raja kedua dalam sejarah — selepas mendiang Ratu Elizabeth II — yang menghadiri pembukaan rasmi Parlimen Kanada dan menyampaikan titah ucapan kerajaan yang menggariskan agenda legislatif.

Ucapan itu merupakan teks rasmi daripada kerajaan Kanada, seumpama ucapan pembukaan Parlimen di United Kingdom, namun para penganalisis dijangka meneliti sebarang bayangan tersirat yang mungkin merujuk kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Lawatan itu berlangsung kurang sebulan selepas kemenangan Pilihan Raya Parti Liberal pimpinan bekas Gabenor Bank of England, Mark Carney.

Jurucakap Istana Buckingham berkata: “Raja dan Permaisuri amat menantikan lawatan ini, walaupun singkat tetapi diharap memberi impak yang bermakna.”

Lawatan rasmi akan dimulakan dengan acara komuniti di Lansdowne Park, Ottawa, yang meraikan warisan budaya dan kepelbagaian rakyat Kanada.

Kemudian, baginda dijadual bertemu Gabenor Jeneral Mary Simon dan Perdana Menteri Carney.

Satu upacara ringkas turut dijadual diadakan bagi melantik Permaisuri Camilla sebagai anggota Majlis Penasihat Diraja Kanada (Canadian Privy Council).

Acara kemuncak lawatan akan berlangsung pada Selasa, apabila pasangan diraja itu menghadiri pembukaan rasmi Parlimen Kanada — upacara yang mirip pembukaan Parlimen Britain namun tanpa elemen protokol ketat diraja.

Lawatan akan diakhiri dengan majlis resepsi ringkas bersama leftenan gabenor dari 10 wilayah Kanada dan pesuruhjaya wilayah dari tiga wilayah utama negara itu.

-- BERNAMA-PA Media/dpa

 

Raja Charles III, Permaisuri Camilla, Kanada


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan