SANTIAGO, 27 Mei (Bernama-Xinhua) -- Presiden Chile Gabriel Boric dijadual mengunjungi bandar selatan Puerto Varas pada Isnin selepas puting beliung luar biasa melanda kawasan itu pada Ahad, mengakibatkan 19 orang cedera selain lebih 250 rumah rosak serta tiang elektrik dan pokok tumbang, lapor Xinhua.
Puting beliung kuat itu mengejutkan kira-kira 45,000 penduduk bandar yang terletak di pinggir Tasik Llanquihue dan berhampiran beberapa gunung berapi.
Susulan kejadian itu, Boric mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan langkah kecemasan bagi mencepatkan penilaian kerosakan terhadap rumah dan harta benda, sambil memaklumkan bahawa "pelbagai agensi kerajaan sedang bekerjasama dalam kerja-kerja pembersihan runtuhan."
Timbalan Menteri Dalam Negeri Victor Ramos memaklumkan kepada media pada Isnin bahawa mangsa yang cedera sedang menerima rawatan dan "bekalan air minuman pulih sepenuhnya manakala sistem bekalan elektrik telah dipulihkan 85 peratus."
Perkhidmatan meteorologi Chile memaklumkan bahawa fenomena luar biasa itu mencatatkan kelajuan angin sehingga 180 kilometer sejam.
Perkhidmatan Negara untuk Pencegahan dan Tindak Balas Bencana (Senapred) telah mengisytiharkan amaran merah di kawasan berkenaan bagi memantau fenomena cuaca itu secara berterusan, menyebabkan pihak berkuasa tempatan menangguhkan sesi persekolahan pada Isnin serta menyediakan pusat perlindungan untuk mangsa yang terjejas.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial