JAKARTA, 27 Mei (Bernama) -- Unit elit antikeganasan Indonesia, Densus 88, menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam aktiviti berkaitan keganasan di Jawa Tengah pada Isnin, menurut pihak berkuasa.
Lelaki tempatan yang dikenal pasti dengan inisial A itu pernah menyertai kumpulan Jemaah Ansharut Daulah (JAD) di Poso, Sulawesi Tengah, dan disyaki sebagai penyokong JAD yang berafiliasi dengan rangkaian pengganas ISIS (Daesh).
Menurut kenyataan Perhubungan Awam Polis Jawa Tengah pada Selasa, A turut dipercayai memainkan peranan dalam menyebarkan propaganda radikal melalui media sosial.
“Penahanan suspek yang dikenali sebagai A di daerah Bener, wilayah Purworejo, dilakukan oleh Densus 88 dengan sokongan Polis Daerah Jawa Tengah.
“Suspek kini telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis di Jakarta oleh pasukan Densus 88,” kata Ketua Perhubungan Awam Polis Jawa Tengah, Komisioner Artanto.
Penahanan itu susulan operasi berasingan hujung minggu lalu, apabila Densus 88 menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di Gowa, Sulawesi Selatan, atas tuduhan menyebarkan propaganda ekstremis dan menghasut keganasan secara dalam talian.
Suspek yang hanya dikenal pasti dengan inisial MAS itu ditahan pada petang Sabtu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial