LUSAKA, Zambia, 28 Mei (Bernama-Anadolu) -- Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) akan menutup pejabatnya di Angola pada suku terakhir tahun 2025 disebabkan kekurangan dana berikutan penurunan dalam pembiayaan dan sumbangan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Wakil UNHCR di Angola, Emmanuelle Mitte, berkata “situasi global” telah menyebabkan agensi itu berdepan kekangan kewangan, yang menjejaskan usaha membantu pelarian dan pelaksanaan penuh operasi pejabat berkenaan.
Namun begitu, Mitte memberi jaminan bahawa penutupan pejabat itu tidak akan menjejaskan sokongan UNHCR kepada kerajaan Angola dalam memberi bantuan kepada lebih 56,000 pelarian, memandangkan agensi itu merancang untuk membuka sebuah pejabat di Afrika Selatan bagi menyelia aktiviti UNHCR di Angola, lapor Agensi Berita Angola.
Mitte menambah bahawa beberapa dana juga sedang digerakkan untuk mewujudkan sebuah “pejabat kecil” di Angola yang akan dikendalikan oleh dua pegawai.
UNHCR di Angola kini mengurus kira-kira 56,000 pelarian daripada pelbagai kewarganegaraan, kebanyakannya dari negara jiran, Republik Demokratik Congo.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial