DUNIA > BERITA

Jepun Bekal Beras Rizab Harga Rendah Ke Kawasan Luar Bandar Akibat Harga Melambung

28/05/2025 08:26 PM

TOKYO, 28 Mei (Bernama-Kyodo) -- Kerajaan Jepun berikrar untuk membekalkan beras rizab pada harga lebih rendah ke kawasan luar bandar, susulan lonjakan harga runcit dan permintaan tinggi daripada peruncit utama, lapor agensi berita Kyodo.

Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan pada Rabu memaklumkan bahawa pengedaran beras simpanan akan dipastikan lebih meluas dan stabil dengan memberikan keutamaan kepada peruncit kecil, selepas menggantung pesanan pukal daripada rangkaian pasar raya besar.

“Kami akan terus berusaha agar beras simpanan dapat disalurkan kepada penduduk di kawasan luar bandar sebanyak mungkin,” kata Menteri Pertanian Shinjiro Koizumi semasa sesi Parlimen, sambil memberi bayangan bahawa kerajaan mungkin mengehadkan pembelian oleh peruncit besar.

Langkah itu diambil selepas kira-kira 70 peruncit utama mengemukakan permohonan berjumlah lebih 200,000 tan - dua pertiga daripada 300,000 tan yang ditawarkan - hanya sehari selepas skim pelepasan beras itu dilancarkan pada Isnin.

Kementerian kemudiannya menghentikan penerimaan pesanan baharu daripada peruncit besar dan akan memperuntukkan baki 100,000 tan kepada pasar raya kecil dan kedai beras tempatan. Permohonan dijangka dibuka semula seawal Jumaat, dengan kos penghantaran ditanggung kerajaan.

Ketika ini, hanya peruncit besar yang mengendalikan lebih 10,000 tan beras setahun dibenarkan membuat pembelian pukal di bawah kriteria kementerian.

Kerajaan kini berdepan tekanan untuk menstabilkan harga makanan susulan kenaikan harga beras runcit yang telah berganda berbanding tahun lalu.

Pelepasan beras simpanan melalui kaedah lelongan sebelum ini gagal mengekang kenaikan harga, mendorong kerajaan melaksanakan penjualan terus kepada peruncit.

Beberapa syarikat besar seperti Aeon Co, Ito-Yokado Co dan Rakuten Group Inc telah membeli beras di bawah skim baharu itu. Bagaimanapun, kebanyakannya memilih stok tuaian 2022, manakala stok tuaian 2021 diperuntukkan kepada perniagaan berskala kecil.

Ketua Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi menyatakan harapan agar kementerian di bawah pimpinan Koizumi dapat memastikan bekalan beras mampu milik kepada isi rumah, kekal stabil.

Koizumi dilantik minggu lalu oleh Perdana Menteri Shigeru Ishiba selepas menteri terdahulu meletak jawatan berikutan kontroversi berhubung penerimaan beras percuma daripada penyokong.

Stok beras tuaian 2021 dijangka dijual pada harga sekitar 1,800 yen (US$13) bagi setiap 5kg - lebih separuh daripada purata harga pasaran semasa.

Jepun sebelum ini menyimpan sebanyak 910,000 tan beras sebelum melepaskan 312,000 tan melalui lelongan pada Mac dan April. Kira-kira 600,000 tan masih berbaki, dengan separuh daripadanya kini dijadual untuk dilepaskan.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan