DUNIA > BERITA

Lebih 1.18 Juta Jemaah Tiba Di Arab Saudi Menjelang Hari Arafah, Aidiladha

28/05/2025 11:28 PM

RIYADH, 28 Mei (Bernama-SPA) -- Lebih 1.18 juta jemaah haji dari seluruh dunia tiba di Arab Saudi menjelang Hari Arafah dan sambutan Aidiladha, menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA) yang memetik Direktorat Am Pasport.

Direktorat itu melaporkan sehingga akhir Selasa, sejumlah 1,180,306 jemaah memasuki negara itu melalui pintu masuk udara, darat dan laut.

Daripada jumlah itu, 1,115,663 jemaah tiba melalui lapangan terbang, 60,365 melalui pintu sempadan darat, dan 4,278 melalui pelabuhan laut.

Pihak berkuasa menegaskan komitmen mereka untuk memastikan kelancaran proses kemasukan  jemaah, termasuk penggunaan teknologi canggih dan penempatan kakitangan pelbagai bahasa di semua pintu masuk antarabangsa.

Sementara itu, dalam pengumuman berasingan, Mahkamah Agung Arab Saudi mengisytiharkan  Rabu, 1 Zulhijah 1446H (28 Mei) adalah permulaan Zulhijah, bulan terakhir dalam kalendar Islam.

Mahkamah turut mengesahkan yang Hari Arafah akan jatuh pada Khamis, 9 Zulhijah (5 Jun), diikuti dengan sambutan Aidiladha pada Jumaat, 6 Jun.

Ibadah haji tahunan ini terus menarik jutaan umat Islam ke Tanah Suci, menjadikannya antara perhimpunan keagamaan terbesar di dunia.

-- BERNAMA-SPA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan