Oleh Voon Miaw Ping
KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa menekankan bahawa mekanisme yang berterusan, inklusif dan diterajui ASEAN adalah penting serta mesti kekal sebagai teras dalam semua usaha diplomatik untuk menyelesaikan kemelut di Myanmar.
Beliau berkata ASEAN mesti meneruskan libat urus konstruktif dengan Myanmar, sambil menyatakan bahawa usaha yang dipelopori Thailand serta Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 telah membawa kepada kemajuan yang ketara, walaupun proses pengantaraan dengan junta berjalan perlahan.
Menurut beliau, Thailand mengambil pendekatan konstruktif terhadap Myanmar dengan melibatkan negara itu dalam dialog yang lebih bermakna.
“Thailand sedang cuba mengubah penepatan minda, daripada persepsi negatif kepada kerjasama positif,” katanya kepada Bernama dalam satu wawancara khas di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan di sini baru-baru ini.
Maris turut merujuk tindakan terbaharu terhadap sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi di Myanmar serta kejadian gempa bumi pada 28 Mac sebagai peluang untuk mengukuhkan rundingan sedemikian.
“Jenayah rentas sempadan merupakan kebimbangan utama bagi negara jiran Myanmar dan usaha menanganinya memerlukan kerjasama aktif Myanmar.
“Ini adalah permulaan kepada satu platform yang membolehkan Myanmar dan negara jiran bertukar pandangan serta bekerjasama menangani isu berkenaan,” katanya.
Maris turut mengetengahkan kemajuan terbaru dalam pengantaraan yang menunjukkan kesungguhan ASEAN menyelesaikan isu itu di bawah kepimpinan Malaysia.
Beliau menarik perhatian bahawa Menteri Luar Myanmar, U Than Swe telah dijemput menyertai mesyuarat tergempar secara maya Menteri Luar ASEAN yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai respons kepada gempa bumi berkenaan.
Ini merupakan kali pertama seorang pemimpin politik Myanmar menyertai mesyuarat blok serantau itu sejak rampasan kuasa pada 2021.
Susulan mesyuarat itu, Mohamad dan Maris bersama-sama mengetuai misi kemanusiaan ke Nay Pyi Taw bagi menilai keadaan pascagempa bumi, termasuk mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar (SAC), Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan Than Swe.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengadakan pertemuan dengan Aung Hlaing dan dialog secara dalam talian dengan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), Mahn Winn Khaing Thann ketika lawatan ke Bangkok pada pertengahan April - satu langkah penting ke arah memupuk penglibatan langsung antara pihak yang bertelagah.
“Semua usaha ini dilakukan atas nama ASEAN. Ini adalah satu kejayaan. Kita perlu mengekalkan momentum ini dan membuka ruang kepada Myanmar untuk berbincang secara konstruktif dengan ASEAN bagi mencapai penyelesaian berkekalan mengikut cara ASEAN,” kata Maris.
“Sudah tentu, masalah ini mempunyai sejarah yang panjang dan rumit, tetapi saya percaya ini adalah permulaan sebenar. Ia akan mengambil masa, tetapi kami yakin hasil positif akan muncul,” tambahnya.
Lebih 6,000 nyawa dilaporkan terkorban dalam konflik bersenjata yang berterusan sejak empat tahun lalu.
Gempa bumi kuat itu memburukkan lagi krisis kemanusiaan, mendorong kerajaan tentera melanjutkan gencatan senjata sehingga 31 Mei bagi memudahkan usaha bantuan.
Rampasan kuasa tentera pada 1 Feb 2021 yang menggulingkan Kerajaan Perpaduan Nasional yang dipilih secara demokrasi dipimpin oleh Aung San Suu Kyi, menjerumuskan negara yang telah lama berdepan konflik dalaman ke dalam pergolakan yang lebih mendalam.
Sebagai respons, para pemimpin ASEAN telah menerima pakai Konsensus Lima Perkara (5PC) pada April tahun sama sebagai rangka kerja utama bagi menyelesaikan krisis itu.
Konsensus itu menyeru kepada pemberhentian segera keganasan, dialog inklusif melibatkan semua pihak, pelantikan utusan khas, penyampaian bantuan kemanusiaan dan utusan khas diberikan askes kepada semua pihak berkepentingan di Myanmar.
Namun pelaksanaannya sebahagian besarnya tergendala berikutan ketidakpatuhan berterusan oleh kerajaan tentera, dengan isu itu kekal menjadi kebimbangan utama dalam penglibatan berterusan ASEAN dengan Myanmar.
Akibatnya, para pemimpin Myanmar dilarang menyertai sidang kemuncak dan mesyuarat peringkat menteri ASEAN, dan negara itu hanya diwakili pegawai bukan politik.
Pemimpin ASEAN telah berulang kali menggesa Myanmar untuk memperbaharui komitmen terhadap Konsensus Lima Perkara, sambil menegaskan bahawa rangka kerja itu kekal sebagai rujukan utama dalam usaha memulihkan keamanan dan kestabilan di Myanmar.
Menteri Luar Malaysia, Mohamad menekankan bahawa pematuhan penuh terhadap Konsensus Lima Perkara adalah prasyarat kepada sebarang perbincangan mengenai pilihan raya di Myanmar, selaras dengan pendirian ASEAN bahawa perkara itu hanya boleh dibincangkan selepas konsensus dilaksanakan.
Mohamad turut menyatakan hasrat untuk melawat Myanmar bagi menyampaikan “senarai hasrat” yang dikumpul daripada pelbagai pihak berkepentingan kepada SAC.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial