Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 30 Mei (Bernama) -- Sekatan yang dikenakan Israel terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza adalah sama sekali tidak boleh diterima dan tidak wajar sama sekali, kata Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong pada Jumaat.
“Pada pandangan kami, ia juga mungkin merupakan satu pelanggaran terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya pada sidang media bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron yang sedang mengadakan lawatan negara sulung ke Singapura sejak Khamis.
Wong berkata walaupun Singapura mengiktiraf kebimbangan keselamatan Israel, tindak balas negara itu telah melampaui batas sehingga mengakibatkan bencana kemanusiaan yang dahsyat.
Beliau berkata Singapura menyertai masyarakat antarabangsa dalam menyeru agar gencatan senjata dilaksanakan serta-merta, bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan, perlindungan terhadap orang awam diberi keutamaan dan semua tebusan dibebaskan.
Tambahnya, di luar krisis semasa, Singapura menyokong hak rakyat Palestin untuk memiliki tanah air mereka sendiri.
“Ini hanya boleh dicapai melalui penyelesaian dua negara yang dirundingkan, kerana ia kekal sebagai satu-satunya jalan ke arah penyelesaian yang menyeluruh, adil dan berkekalan bagi konflik panjang antara Israel dan Palestin,” katanya.
Wong berkata Singapura akan menyertai usaha antarabangsa ke arah penyelesaian jangka panjang konflik itu, termasuk persidangan antarabangsa anjuran Perancis dan Arab Saudi yang dijadualkan berlangsung bulan depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial